Tiga lagi ditahan bakar mercun berhampiran lampu isyarat

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, ACP Azrol Anuar Nor (kotak kecil) / Gambar janaan AI

JOHOR BAHRU, 10 November – Polis menahan tiga lagi lelaki bagi membantu siasatan kes membakar mercun berhampiran lampu isyarat di Taman Nesa, Skudai, di sini, Ahad lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Dua suspek mempunyai rekod lampau jenayah dan dadah, namun saringan awal air kencing mendapati kesemuanya negatif.
  • Empat lelaki ditahan pada hari kejadian; beberapa suspek akan didakwa mengikut Seksyen 286 Kanun Keseksaan dan Seksyen 48(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
  • Orang ramai diminta menyalurkan maklumat berkaitan kejadian melalui talian hotline 07-5563122.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, ACP Azrol Anuar Nor berkata, kesemua suspek berusia antara 19 hingga 23 tahun itu ditahan di sekitar Skudai kira-kira 4.30 petang tadi.

“Hasil semakan mendapati dua daripada mereka mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah, namun saringan awal air kencing mendapati kesemuanya negatif dadah,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, polis menahan empat lelaki berusia antara 16 hingga 25 tahun pada hari kejadian, kira-kira pukul 7.30 malam, bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Azrol Anuar berkata, empat lelaki berkenaan akan dituduh mengikut Seksyen 286 Kanun Keseksaan, manakala dua lagi akan didakwa mengikut Seksyen 48(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 di Mahkamah Majistret di sini, esok.

Seorang daripada suspek pula dibebaskan dan akan dijadikan saksi pendakwaan.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya menyalurkannya menerusi talian hotline 07-5563122.

Sebelum ini, tular video berdurasi 29 saat di media sosial yang memaparkan perbuatan membakar mercun di lokasi berkenaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.