YDP Agong Ketua Negara Malaysia pertama hadir sambutan hari kemenangan di Moscow

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim diundang sebagai Tetamu Kehormat ke Sambutan Ulang Tahun Ke-81 Hari Kemenangan di Moscow. Foto Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

KUALA LUMPUR, 9 Mei – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim melakar sejarah apabila menjadi Ketua Negara Malaysia pertama diundang sebagai Tetamu Kehormat ke Sambutan Ulang Tahun Ke-81 Hari Kemenangan di Moscow, Rusia, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Undangan khas Presiden Putin mencerminkan pengiktirafan tertinggi Rusia terhadap Malaysia dan hubungan baik antara kedua-dua negara.
  • Seri Paduka menyaksikan perarakan ketenteraan di Dataran Merah bersama Presiden Putin dan beberapa pemimpin negara lain.
  • Hari Kemenangan memperingati kemenangan Kesatuan Soviet dalam Perang Dunia Kedua dari 1941 hingga 1945 dengan perarakan ketenteraan besar di Dataran Merah.
  • Keberangkatan baginda mencerminkan penghormatan antarabangsa terhadap Malaysia dan peranan Diraja memperkukuh hubungan antarabangsa demi manfaat bersama.

Menurut hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, undangan khas daripada Presiden Rusia Vladimir Putin kepada Seri Paduka Baginda itu mencerminkan pengiktirafan tertinggi kerajaan negara berkenaan terhadap Malaysia serta hubungan baik antara kedua-dua negara.

Seri Paduka Baginda turut berkenan menyaksikan perarakan ketenteraan di Dataran Merah bersama-sama Presiden Putin serta beberapa pemimpin dunia lain termasuk Presiden Belarus Aleksandr Lukashenko, Presiden Uzbekistan Shavkat Mirziyoyev, Presiden Kazakhstan Kassym-Jomart Tokayev, Presiden Laos Thongloun Sisoulith dan Perdana Menteri Slovakia Robert Fico.

Hari Kemenangan disambut setiap tahun dengan penuh istiadat di Moscow bagi memperingati kemenangan Kesatuan Soviet dalam Perang Dunia Kedua dari 1941 hingga 1945, yang turut diiringi perarakan ketenteraan besar-besaran di Dataran Merah.

Keberangkatan Sultan Ibrahim ke Moscow sebagai Tetamu Kehormat mencerminkan kedudukan Malaysia yang semakin dihormati di persada antarabangsa, selain menzahirkan peranan penting Institusi Diraja dalam memperkukuh hubungan antarabangsa demi manfaat bersama. – BERNAMA