
ROMPIN, 16 Jun – Seorang peneroka FELDA di Felda Sungai Mok mengalami kerugian lebih RM6,000 selepas enam ekor lembunya ditemukan mati dipercayai dibaham harimau di Ladang Sungai Mok, Rompin pada Sabtu lalu.
- Peneroka menemui lembu mati ketika melakukan pemantauan di ladang pada pukul 8 pagi.
- Haiwan ditemui dengan kesan gigitan di leher, menunjukkan serangan pemangsa.
- Kesan tapak kaki dipercayai harimau ditemukan berhampiran kawasan kejadian.
- Kejadian berlaku tiga hari berturut-turut; laporan dibuat, dirujuk kepada PERHILITAN dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar.
Menurut kenyataan Ketua Polis Daerah Rompin, Superintenden Sharif Shai Sharif Mondoi, kejadian disedari lelaki berusia 60 tahun itu ketika melakukan pemantauan di ladang tersebut pada pukul 8 pagi.

“Enam ekor lembu jenis baka Brahman ditemukan mati dengan kesan gigitan di leher haiwan terbabit.
“Peneroka mengesyaki lembu ternakannya itu dibaham harimau kerana terdapat kesan tapak kaki dipercayai haiwan terbabit. Kejadian ini sudah berlaku tiga hari berturut-turut sehingga semalam.
“Jumlah kerugian dianggarkan berjumlah RM6,300,” menurut kenyataan itu hari ini.
Beliau berkata, peneroka itu kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Kuala Rompin untuk tindakan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar.