
JOHOR BAHRU, 20 Oktober – Impian Skuad Hoki Remaja Kebangsaan untuk menamatkan saingan dikelompok tiga terbaik semakin cerah selepas berjaya membenam Jepun, 4-2 dalam aksi Kejohanan Hoki Antarabangsa Bawah 21 Tahun, Piala Sultan Johor (SOJC) 2026 di Stadium Hoki Taman Daya, disini hari ini.
- Skuad bangkit mencetak tiga gol pada dua suku terakhir untuk membalikkan keadaan.
- Ketua jurulatih memuji semangat pemain yang tidak berputus asa dan pengamalan pendekatan teknikal sehingga wisel penamat.
- Kemenangan itu melonjakkan Malaysia ke tangga kedua kumpulan, perlawanan menentang Pakistan dilihat ujian getir esok.
Pada perlawanan tersebut kedua-dua pasukan tampil garang apabila saling berbalas sarangan pada suku pertama.
Namun, kedua-dua pasukan gagal menghasilkan gol.
Memasuki suku kedua, Jepun berada di depan menerusi Matsuki Mori hasil jaringan pada pada minit ke-19.
Tersentak dengan jaringan itu, skuad Young Tigers kembali bangkit menyamakan kedudukan menerusi Muhammad Hafiezuddin Mohd Ali menerusi pukulan penalti stroke pada minit ke 27.
Pada suku ketiga permainan skuad ‘Matahari Terbit’ sekali lagi berada didepan selepas Rintaro Sakai menjaringkan gol padang, hasil hantaran Ryosuke Shinohara pada minit ke 43.
Skuad negara kembali bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke 51 hasil pukulan sudut penalti Aferull Syah Ahmad Azuan Syahrill.
Selang lima minit kemudian, Malaysia kembali dihadapan, hasil jaringan Naaveennash Paniker pada minit ke-51, sebelum Dheeressh Gunaseelan menambah satu lagi jaringan, hasil pukulan sudut penalti, pada minit ke-56.
Kemenangan kedua berturut-turut membolehkan skuad Young Tigers melonjak ke tangga kedua kumpulan di belakang pendahulu kumpulan, Pakistan.
Sementara itu, Ketua jurulatih skuad remaja kebangsaan, Nor Saiful Zaini Nasiruddin memuji semangat yang ditunjukkan oleh anak-anak buahnya yang terus berusaha sehingga ke wisel penamat.
“Perkara positifnya ialah pasukan kita tidak berputus asa.
“Mereka cuba menerapkan pendekatan teknikal yang telah diberikan dan terus mengasak Jepun pada dua suku terakhir sehingga berjaya menjaringkan tiga gol”, ujarnya.
Tambahnya aksi menentang Pakistan pada Khamis (esok) disifatkan bakal menjadi ujian getir buat anak buahnya memandangkan skuad berkenaan diketahui mempunyai corak serta permainan yang baik.