
KUALA LUMPUR, 10 November – Kementerian Pendidikan (KPM) telah menerima 670 permohonan peruntukan penyelenggaraan sekolah daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) seluruh negara, selepas Saluran Khas PIBG KPM dibuka bermula 1 November lepas.
- Sambutan menunjukkan kesungguhan PIBG membantu memperbaiki kemudahan dan persekitaran sekolah demi keselesaan murid.
- KPM menggesa PIBG memainkan peranan lebih besar sebagai rakan strategik dalam usaha menambah baik ekosistem pendidikan negara.
- Permohonan peruntukan penyelenggaraan melalui saluran khas masih dibuka sehingga 30 November.
- PIBG yang belum mengemukakan permohonan masih berpeluang untuk berbuat demikian sebelum tarikh ditetapkan.
Menerusi hantaran di Facebook, Menteri, Fadhlina Sidek memaklumkan angka berkenaan dicatatkan dalam tempoh seminggu itu menunjukkan kesungguhan PIBG untuk bersama-sama membantu meningkatkan kemudahan serta persekitaran sekolah.
“Sambutan yang diterima menunjukkan kesungguhan PIBG untuk membantu meningkatkan kemudahan demi keselesaan anak-anak.
“KPM juga mahu melihat PIBG memainkan peranan lebih besar, sebagai rakan strategik kementerian dalam usaha menambah baik ekosistem pendidikan negara,”menurut hantaran itu.
Beliau turut menyatakan,permohonan peruntukan penyelenggaraan sekolah menerusi saluran khas berkenaan masih dibuka sehingga 30 November ini dan PIBG yang belum mengemukakan permohonan, masih berpeluang berbuat demikian.