
BUKIT BERUANG, 10 November – 19 laporan diterima Polis Melaka melibatkan beberapa kesalahan antaranya khianat menggunakan api dalam tempoh 11 hari kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, sejak 31 Oktober lepas.
- 18 kertas siasatan telah dibuka, setakat ini tiada tangkapan.
- Kebanyakan kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 427 dan Seksyen 435 berkaitan khianat serta pembakaran bendera.
- Kesalahan hasutan turut dikesan dan disiasat.
- 669 pegawai dan anggota digerakkan memantau kempen; 3,332 ditugaskan termasuk pemantauan di semua pusat mengundi.
Ketua Polis Negeri, Datuk Dzulkhairi Mukhtar ketika memaklumkan perkembangan itu mengesahkan 18 kertas siasatan telah dibuka dengan setakat ini, tiada tangkapan.
“Kebanyakan kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dan Seksyen 435 Kanun Keseksaan adalah khianat dengan api melibatkan tindakan membakar bendera, selain kesalahan hasutan serta hasutan,”katanya selepas menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal di Ibu Pejabat Polis Kontijen Melaka di sini.
Dalam pada itu, seramai 669 pegawai dan anggota polis digerakkan untuk memantau perjalanan kempen sepanjang PRN Melaka Ke-16, manakala 3,332 pegawai serta anggota polis ditugaskan termasuk memantau proses pengundian di semua pusat mengundi.