
KUALA LUMPUR, 10 November – Undi golongan muda berpotensi menjadi penentu keputusan pilihan raya dan hala tuju politik negara berikutan peningkatan jumlah pengundi dalam kelompok itu.
- Jangan anggap satu undi tidak bermakna; setiap undi boleh menentukan kemenangan dalam persaingan tipis.
- Sejarah menunjukkan belia dan mahasiswa pernah memperjuangkan hak demokrasi termasuk menuntut hak mengundi.
- Pengundi perlu bersikap matang, menilai kredibiliti, rekod prestasi dan matlamat perjuangan calon serta parti.
- Golongan muda diseru memanfaatkan hak mengundi dengan penuh tanggungjawab demi masa depan dan hala tuju negara.
Pengarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Mazlan Ali berkata, golongan muda mempunyai peranan penting dalam menentukan kepimpinan negara dan tidak seharusnya menganggap satu undi tidak mampu membawa sebarang perubahan.
Menurutnya, setiap undi berupaya menjadi penentu kemenangan kepada calon yang bertanding.
“Pengundi perlu melaksanakan tanggungjawab mereka kerana setiap undi amat penting, khususnya di kawasan yang menyaksikan persaingan sengit apabila kemenangan seseorang calon boleh ditentukan menerusi perbezaan hanya beberapa undi,” katanya selepas menjadi tetamu Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media, hari ini.
Ujarnya, peningkatan jumlah pengundi muda menjadikan golongan itu antara kelompok penting yang berpotensi mempengaruhi keputusan pilihan raya serta mencorakkan perubahan kepimpinan negara.
Beliau turut mengambil iktibar daripada sejarah beberapa negara yang menyaksikan kemampuan golongan belia dan mahasiswa dalam memperjuangkan hak demokrasi, termasuk menuntut hak untuk memilih pemimpin melalui pilihan raya.
“Bayangkan sekiranya seribu orang anak muda beranggapan bahawa undi mereka tidak membawa sebarang perubahan dalam pilihan raya, hakikatnya tanggapan itu tidak tepat kerana sejarah membuktikan golongan belia, termasuk mahasiswa, di beberapa negara pernah mengadakan demonstrasi bagi memperjuangkan hak demokrasi, khususnya hak untuk mengundi,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata kepentingan undi perlu disertai kematangan dalam membuat pilihan dengan menilai kredibiliti calon dan parti yang bertanding.
Katanya, pengundi perlu meneliti keupayaan kepimpinan, matlamat perjuangan serta rekod prestasi calon dan parti sebelum menentukan sokongan.
“Pengundi yang matang perlu membuat pertimbangan dan penilaian teliti sebelum memilih calon serta parti yang benar-benar layak menerajui kerajaan, termasuk meneliti keupayaan kepimpinan, matlamat perjuangan dan rekod prestasi mereka dalam memastikan negara dapat dibawa ke arah hala tuju yang lebih baik,” katanya.
Sehubungan itu, golongan muda diseru supaya memanfaatkan hak mengundi dengan penuh tanggungjawab kerana setiap undi merupakan suara rakyat dalam menentukan kepimpinan dan masa depan negara.