
KUALA TERENGGANU, 16 Jun – Seorang guru lelaki direman selama tujuh hari sehingga 21 Jun ini bagi membantu siasatan kes amang seksual fizikal terhadap bekas murid lelakinya yang kini berusia 13 tahun.
- Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 8 pagi pada 4 Jun di sebuah hotel di bandar raya ini.
- Mangsa mendakwa dicabul secara fizikal oleh suspek yang dikenali; suspek adalah guru mangsa ketika di sekolah rendah.
- Kes disiasat di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017; jika sabit, hukuman hingga 20 tahun dan sebatan.
Suspek berusia lingkungan 30-an itu ditahan di kediamannya di sebuah daerah di Terengganu pada Ahad selepas polis menerima laporan daripada mangsa pada jam 9.38 pagi hari sama.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Azli Mohd Noor berkata, Mahkamah Majistret Kuala Terengganu membenarkan permohonan reman terhadap suspek bermula 15 hingga 21 Jun bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 8 pagi pada 4 Jun lalu di sebuah hotel di bandar raya ini.
“Mangsa mendakwa telah dicabul secara fizikal oleh suspek yang dikenalinya. Suspek merupakan guru kepada pengadu ketika mangsa masih belajar di sekolah rendah,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 14(a), Seksyen 14(d) dan Seksyen 15B(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat, selain berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun mengikut peruntukan berkaitan.
Azli berkata, polis sedang melengkapkan kertas siasatan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan, sebanyak empat kertas siasatan membabitkan jenayah seksual terhadap kanak-kanak telah dibuka oleh polis Kuala Terengganu bagi tempoh 1 hingga 14 Jun lalu.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan ibu bapa agar sentiasa peka terhadap keselamatan anak-anak dengan memberikan pendidikan awal mengenai gangguan seksual serta memantau aktiviti harian mereka bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berlaku.