
ALOR GAJAH, 10 November – Teknologi torehan getah secara tebuk yang berpotensi meningkatkan pengeluaran susu getah sehingga tiga kali ganda berbanding kaedah konvensional akan mula diperkenalkan di kebun RISDA seluruh negara pada Januari 2027.
- Ujian di Sarawak menunjukkan teknologi torehan tebuk meningkatkan hasil sehingga tiga kali ganda berbanding torehan biasa.
- Pekebun kecil mahukan bukti keberkesanan terlebih dahulu sebelum bersedia mengguna pakai kaedah baru.
- Kaedah membolehkan pokok getah tua yang tidak sesuai ditoreh secara konvensional dimanfaatkan semula untuk menghasilkan lateks.
- RISDA menawarkan harga belian minimum RM5 sekilogram dan diminta memperluas lokasi pembelian serta memperbanyak depot pengumpulan lateks.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, teknologi berkenaan telah diuji di Sarawak dan menunjukkan peningkatan hasil sehingga tiga kali ganda berbanding kaedah torehan biasa.
“Insya-Allah, saya telah mengarahkan RISDA supaya pelaksanaan teknologi ini dimulakan pada Januari tahun depan di kebun-kebun RISDA yang meliputi kawasan seluas 103,000 hektar di seluruh negara.
“Pekebun kecil mahu melihat bukti keberkesanannya terlebih dahulu. Apabila hasilnya sudah terbukti, barulah mereka bersedia menggunakan kaedah ini. Saya yakin perkara ini boleh dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Kemakmuran Pekebun Kecil dan Hari Terbuka RISDA Melaka,di sini.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, kaedah itu turut membolehkan pokok getah tua yang tidak lagi sesuai ditoreh secara konvensional dimanfaatkan semula untuk menghasilkan susu getah.
Dalam usaha meningkatkan pendapatan pekebun kecil, RISDA turut berperanan sebagai pembeli utama hasil getah dengan menawarkan harga belian sekurang-kurangnya RM5 sekilogram.
Beliau bagaimanapun mahu lokasi pembelian getah diperluas, khususnya di peringkat daerah, bagi memudahkan pekebun kecil menjual hasil mereka.
Pada masa sama, RISDA diminta memperbanyak depot pengumpulan lateks bagi meningkatkan bekalan kepada industri tempatan dan mengurangkan kebergantungan terhadap import.
Usaha itu termasuk memanfaatkan pemprosesan getah sekerap kepada lateks bagi memenuhi keperluan industri negara.
Menurut beliau, peningkatan permintaan terhadap getah asli daripada kilang dalam dan luar negara turut membuka peluang kepada Malaysia untuk memperkukuh kedudukannya sebagai pembekal serta mempunyai pengaruh lebih besar dalam penentuan harga getah.