11 maut, 48 cedera dalam kemalangan babitkan puluhan kenderaan

Kemalangan melibatkan puluhan kenderaan di lebuh raya berhampiran Yambol, tenggara Bulgaria / Foto AFP

SOFIA, 10 November – Sebelas orang maut manakala, 48 lagi cedera dalam kemalangan membabitkan puluhan kenderaan di lebuh raya berhampiran Yambol, tenggara Bulgaria pada Selasa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kemalangan melibatkan pelbagai kenderaan, berlaku ketika kabus tebal di lebuh raya antara Sofia dan Burgas.
  • Beberapa kenderaan remuk, terbalik dan terbakar; mangsa cedera dibawa ke hospital.
  • Kerajaan dan Perdana Menteri gerakkan pasukan perubatan serta dua pesawat pengusung; statistik EU tunjuk kadar kematian jalan raya tinggi.

Kemalangan melibatkan pelbagai kenderaan termasuk kereta dan lori berlaku ketika keadaan kabus tebal di lebuh raya yang menghubungkan ibu negara Sofia dengan bandar Burgas di pesisir Laut Hitam.

Insiden berkenaan menyaksikan puluhan kenderaan bertembung di kedua-dua arah lebuh raya, menyebabkan beberapa kenderaan remuk, terbalik dan terbakar.

Gabenor Wilayah Yambol, Georgi Chalakov berkata kira-kira 50 kereta dan lori terbabit dalam kemalangan tersebut selain, pegawai kerajaan turut bergegas ke lokasi kejadian.

Selain itu, Perdana Menteri Bulgaria, Rumen Radev, turut mengesahkan angka korban dalam kejadian berkenaan.

“Setakat ini, 11 orang maut dan 48 lagi cedera,” katanya kepada media.

Radev turut membatalkan acara rasmi yang dijadual berlangsung pada Selasa bagi memberi tumpuan kepada perkembangan tragedi berkenan.

Sebelum itu, beliau mengadakan pertemuan dengan Ketua Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen yang dalam lawatan ke negara tersebut.

Sementara itu, mangsa yang cedera dibawa ke hospital di bandar berhampiran untuk mendapatkan rawatan.

Kerajaan turut menggerakkan dua pesawat yang dilengkapi pengusung dan pasukan perubatan bagi membantu operasi pemindahan mangsa.

Menurut statistik Suruhanjaya Eropah, Bulgaria mencatatkan 71 kematian akibat kemalangan jalan raya bagi setiap sejuta penduduk pada 2025, sekali gus merekodkan kadar kematian jalan raya tertinggi dalam Kesatuan Eropah (EU).

Antara faktor yang sering dikaitkan dengan kadar kemalangan tinggi di negara Balkan itu termasuk pemanduan berbahaya, keadaan jalan raya yang kurang diselenggara dan sistem keadilan yang tidak cekap.-AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.