Malaysia, Qatar teroka kerjasama komunikasi satelit, teknologi kuantum

Datuk Seri Fahmi / Foto BERNAMA

DOHA, 10 November – Malaysia dan Qatar meneroka peluang kerjasama dalam komunikasi satelit bagi memperluas akses Internet, khususnya di kawasan tanpa liputan telekomunikasi, selain meningkatkan keselamatan rangkaian menerusi teknologi komunikasi selamat kuantum.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pertemuan dua hala antara Menteri Komunikasi Malaysia dan Qatar untuk meneroka kerjasama dalam bidang komunikasi dan teknologi.
  • Menilai pendekatan Qatar serta perancangan Malaysia bagi memastikan sistem komunikasi lebih selamat dan sukar digodam.
  • Meneroka peluang memperkukuh kerjasama dalam literasi digital dan literasi kecerdasan buatan.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dibincangkan dalam pertemuan dua hala bersama Menteri Komunikasi dan Teknologi Maklumat Qatar, Mohammed Ali Al Mannai.

“Komunikasi satelit sekarang ini akan memainkan peranan, terutama di kawasan yang tidak ada menara, yang tidak ada capaian Internet.

“Kita akan meneliti pendekatan yang dilaksanakan Qatar serta perancangan Malaysia dalam bidang ini, selain meneroka kerjasama antara kedua-dua negara bagi memastikan sistem komunikasi lebih selamat dan tidak mudah digodam oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas pertemuan berkenaan yang berlangsung bersempena Persidangan Perwakilan Penuh Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa 2026 (ITU PP-26), di sini.

Selain itu, kedua-dua negara turut meneroka peluang memperkukuh kerjasama dalam bidang literasi digital dan literasi kecerdasan buatan (AI).

Sementara itu, Datuk Seri Fahmi turut mengadakan pertemuan dengan Menteri Komunikasi dan Teknologi Maklumat Nepal, Bikram Timilsina bagi membincangkan potensi memperluas kerjasama dalam bidang sama.

Dalam  pertemuan sama, beliau menyampaikan ucapan takziah susulan tragedi banjir besar yang melanda negara itu pada 26 Ogos lepas.

“Perbincangan itu menyentuh beberapa aspek melibatkan pihak Peguam Negara Malaysia dan Nepal bagi membolehkan status rakyat Malaysia terlibat ditentukan, sekali gus memberikan kepastian kepada keluarga mereka,” jelasnya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.