AKPS sita 24.9 tan ayam sejuk beku bernilai RM562,290

Foto AKPS BUKIT KAYU HITAM

BUKIT KAYU HITAM, 10 November – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Bukit Kayu Hitam menyita 24.9 tan produk ayam sejuk beku bernilai RM562,290 selepas didapati menggunakan permit import MAQIS yang telah tamat tempoh.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemeriksaan di bilik sejuk menemui produk ayam beku kategori Chicken Thigh & Leg Boneless diimport dari Thailand dengan Permit Import MAQIS tamat tempoh.
  • Dagangan disita mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 dan diserahkan kepada MAQIS untuk tindakan lanjut.
  • AKPS menegaskan tiada kompromi terhadap pelanggaran undang-undang; pemeriksaan dan pemantauan akan dipertingkatkan untuk memastikan pematuhan.

Rampasan itu dilakukan hasil pemeriksaan fizikal terhadap sebuah kenderaan perdagangan di Bilik Sejuk Beli, Blok E1, Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam.

Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, SAC Fauzi Mohd Yusof berkata, pemeriksaan mendapati dagangan berkenaan terdiri daripada produk ayam sejuk beku kategori “Chicken Thigh & Leg Boneless Frozen” yang diimport dari Thailand.

“Pemeriksaan lanjut mendapati pengimport mengemukakan dokumen Permit Import MAQIS yang telah tamat tempoh sah.

Susulan itu, keseluruhan 24,990 kilogram dagangan bernilai RM562,290 disita mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728),” katanya dalam satu kenyataan.

Kes berkenaan diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) untuk tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang.

SAC Fauzi menegaskan, AKPS tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang, khususnya berkaitan pengimportan barangan yang tidak memenuhi syarat dan peraturan ditetapkan.

Katanya, pemeriksaan serta pemantauan akan terus dipertingkatkan bagi memastikan setiap dagangan yang dibawa masuk ke negara ini mempunyai permit dan dokumen sah serta mematuhi undang-undang berkuat kuasa.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.