
KUALA LUMPUR, 10 November – Pengeluaran getah asli meningkat 7.3 peratus pada September 2026 kepada 31,657 tan metrik berbanding pada 29,510 tan metrik, pada bulan sebelumnya.
- Pengeluaran terus didominasi pekebun kecil, menyumbang 89.5 peratus berbanding estet 10.5 peratus.
- Jumlah stok getah asli meningkat 5.6 peratus kepada 142,523 tan metrik pada September 2026.
- Eksport susut 11.9 peratus pada September 2026, dengan China sebagai destinasi utama (33.4 peratus).
- Pengeluaran suku ketiga naik 35.0 peratus kepada 88,093 tan metrik berbanding suku kedua 2026.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), perbandingan tahun ke tahun menunjukkan pengeluaran getah asli meningkat 18.8 peratus daripada September 2025 yang merekodkan sebanyak 26,647 tan metrik.
DOSM menjelaskan, pengeluaran pada September 2026 terus didominasi pekebun kecil yang menyumbang 89.5 peratus berbanding estet sebanyak 10.5 peratus.
“Jumlah stok getah asli pada bulan sama meningkat 5.6 peratus kepada 142,523 tan metrik berbanding 135,016 tan metrik pada Ogos 2026.
”Bagi tempoh sama, eksport getah asli merekodkan 29,438 tan metrik, menurun 11.9 peratus berbanding 33,426 tan metrik pada Ogos 2026,” jelas DOSM dalam terbitan Perangkaan Getah Bulanan Malaysia September 2026, hari ini.
Jelasnya, China terus kekal sebagai destinasi utama untuk eksport getah asli iaitu menyumbang 33.4 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport pada September 2026 diikuti Jerman (18.9 peratus), Amerika Syarikat (8.1 peratus), Turkiye (6.5 peratus) dan Portugal (3.7 peratus).
Prestasi eksport produk berasaskan getah asli disumbangkan oleh sarung tangan getah dengan nilai RM1.3 billion pada September 2026, susut 9.5 peratus berbanding RM1.4 billion pada Ogos 2026.
Bagi suku ketiga 2026, pengeluaran getah asli meningkat 35.0 peratus kepada 88,093 tan metrik berbanding 65,266 tan metrik pada suku kedua 2026.
Prestasi pertumbuhan tahunan pengeluaran getah asli pada suku sama pula mencatatkan penurunan 6.1 peratus berbanding suku ketiga 2025 sebanyak 93,815 tan metrik.