
KUALA LUMPUR, 10 November – Inflasi kesihatan negara meningkat kepada 3.0 peratus pada 2025 berbanding 1.3 peratus pada tahun sebelumnya.
- DOSM terbitkan Laporan Indeks Harga Kesihatan 2025, menilai tiga kategori utama: ubat, peralatan kesihatan dan perkhidmatan kesihatan.
- Perkhidmatan kesihatan meningkat, dipacu oleh kenaikan perbelanjaan insurans berkaitan kesihatan sebanyak 9.1 peratus.
- Kategori ubat paling besar wajaran 38.9 peratus; peningkatan didorong oleh ubat, vaksin dan penyediaan farmaseutikal.
- Indeks menyokong kerajaan dan pemegang taruh merancang, melaksanakan dan memantau perubahan kos kesihatan dengan data terperinci.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam kenyataan memaklumkan, peningkatan itu direkodkan menerusi laporan Indeks Harga Kesihatan (IHK) 2025.
Laporan itu mengambil kira aspek rawatan dan pencegahan kesihatan yang merangkumi tiga kategori iaitu ubat, peralatan kesihatan dan perkhidmatan kesihatan di Malaysia.
“Peningkatan inflasi kesihatan pada tahun lalu didorong kenaikan dalam ketagori perkhidmatan kesihatan yang melonjak 4.4 peratus berbanding 0.9 peratus pada tahun 2024.
”Lonjakan ini disumbangkan oleh kelas perbelanjaan insurans berkaitan kesihatan yang meningkat 9.1 peratus pada tahun 2025.
”Sementara itu, kategori ubat yang menyumbang wajaran terbesar iaitu 38.9 peratus dalam IHK mencatatkan peningkatan 2.8 peratus pada tahun 2025 berbanding 2.2 peratus pada tahun sebelumnya,” menurut kenyataan itu.
Peningkatan itu didorong kelas perbelanjaan ubat-ubatan merangkumi subkelas perbelanjaan ubat-ubatan, vaksin dan penyediaan farmaseutikal lain, selain ubat-ubatan herba dan produk homeopati.
Kedua-dua subkelas masing-masing meningkat 4.5 peratus pada tahun 2025 berbanding 2.2 peratus dan 0.7 peratus pada tahun 2024.
Manakala, kategori peralatan kesihatan turut meningkat 1.1 peratus daripada 0.6 peratus pada 2024 didorong oleh kelas perbelanjaan produk perubatan yang naik 1.3 peratus.
Peningkatan berkenaan disumbangkan oleh subkelas perbelanjaan produk diagnostik perubatan yang mencatatkan kenaikan 1.6 peratus berbanding 0.3 peratus pada tahun 2024.
”Penerbitan pertama IHK ini mengetengahkan dapatan terperinci selepas Laporan Awalan Indeks Harga Kesihatan Malaysia 2025 diterbitkan pada bulan Julai 2026.
”Indeks ini melengkapi indikator pengukuran inflasi berkaitan kesihatan yang boleh membantu kerajaan, pemegang taruh dan masyarakat mengenal pasti trend perubahan kos kesihatan, seterusnya menyokong proses perancangan, pelaksanaan dan pemantauan yang lebih berkesan dalam sektor kesihatan,” tambah kenyataan itu.