Mujibburrahman dilantik Ketua Eksekutif BSN

Mujibburrahman Abd Rashid dilantik Ketua Eksekutif BSN berkuat kuasa, hari ini

KUALA LUMPUR, 10 November – Bank Simpanan Nasional (BSN) melantik Mujibburrahman Abd Rashid sebagai Ketua Eksekutif baharu berkuat kuasa, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pengalaman lebih tiga dekad dalam perbankan; pernah berkhidmat di BSN sejak 1994 dan memegang jawatan kanan di Bank Islam.
  • Lembaga yakin dengan kepimpinan terbukti beliau untuk memacu BSN ke fasa pertumbuhan seterusnya dan memberi impak bermakna.
  • Berkomitmen memacu transformasi, memperluas akses kewangan, memacu inovasi digital, meningkatkan pengalaman pelanggan dan nilai mampan.

Beliau sebelum ini merupakan Pemangku Ketua Eksekutif BSN dan bertanggungjawab menyelia operasi, keutamaan strategik serta prestasi perniagaan organisasi itu.

Kenyataan BSN memberitahu, Mujibburrahman mempunyai pengalaman lebih tiga dekad dalam industri perbankan.

”Beliau mula berkhidmat di BSN pada tahun 1994 dan kembali menyertai bank ini pada tahun 2018 selepas memegang beberapa jawatan kanan di Bank Islam, termasuk sebagai Pengurus Besar Perbankan Pengguna.

”Kepakarannya merangkumi perbankan runcit, transformasi perniagaan, pelaksanaan strategi, pengurusan risiko dan penglibatan pelanggan,”menurut kenyataan itu.

Sepanjang bersama BSN, beliau telah memegang pelbagai jawatan kanan termasuk Timbalan Ketua Eksekutif, Ketua Pegawai Perniagaan dan Pengarah Negeri.

“Pengetahuan mendalam beliau mengenai bank, kepimpinan yang terbukti serta komitmen kepada misi BSN memberikan keyakinan kepada Lembaga Pengarah dengan keupayaan Mujibburrahman untuk memacu BSN ke fasa pertumbuhan seterusnya.

”Kami yakin BSN akan terus memberikan impak bermakna kepada pelanggan, pihak berkepentingan dan negara di bawah kepimpinan beliau,” jelas Pengerusi BSN, Datuk Sri (Dr.) Zukri Samat dalam kenyataan sama.

Sementara itu, Mujibburrahman turut menyatakan komitmen untuk memacu transformasi serta memperluas akses kewangan agar BSN terus membuka peluang, memperkasa perniagaan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

”BSN akan terus memberi tumpuan kepada pengukuhan mandatnya sebagai institusi kewangan pembangunan dan memperluas rangkuman kewangan.

”Pada masa sama, kami akan kekal memacu inovasi digital, meningkatkan pengalaman pelanggan serta mewujudkan nilai mampan kepada masyarakat di seluruh negara,” jelas beliau.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.