
PUTRAJAYA, 10 November – Orang ramai dinasihat menangguhkan sebarang aktiviti rekreasi air termasuk mandi-manda, berenang, berkelah dan berkhemah di kawasan sungai, jeram, air terjun serta tali air sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027.
- JBPM: cuaca tidak menentu dan hujan lebat boleh meningkatkan paras air serta arus deras, meningkatkan risiko kepala air tanpa amaran.
- Fenomena kepala air boleh berlaku dalam sekelip mata; bertindak awal, jangan tunggu sehingga arus menjadi deras.
- Sentiasa peka perkembangan cuaca, patuhi arahan pihak berkuasa dan utamakan langkah pencegahan untuk keselamatan.
- Jika kecemasan, hubungi 999 segera dan berikan lokasi tepat; operasi SAR sedang dijalankan susulan kejadian di Sungai Pertak.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memaklumkan, ini susulan keadaan cuaca tidak menentu dan hujan lebat berterusan di beberapa kawasan yang boleh menyebabkan paras air meningkat secara mendadak serta arus deras.
Keadaan itu meningkatkan risiko fenomena kepala air yang boleh berlaku tanpa amaran awal dan mengancam nyawa pengunjung.
“Fenomena kepala air boleh berlaku dalam sekelip mata, jangan tunggu sehingga air menjadi deras untuk bertindak. Keselamatan nyawa hendaklah sentiasa menjadi keutamaan,” menurut JBPM dalam satu kenyataan.
Selain itu, orang ramai diminta sentiasa peka terhadap perkembangan cuaca, mematuhi arahan pihak berkuasa dan mengutamakan langkah pencegahan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Sekiranya berlaku kecemasan, segera hubungi talian 999 serta memberikan maklumat lokasi kejadian kepada pasukan penyelamat.
Nasihat berkenaan turut dibuat susulan kejadian kepala air di Sungai Pertak, Kuala Kubu Bharu, Selangor pada 9 November lalu yang menyaksikan lapan individu dilaporkan dihanyutkan arus deras ketika melakukan aktiviti rekreasi dan pendakian.
Setakat pukul 9.20 pagi tadi, lima mangsa ditemukan lemas, manakala operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih diteruskan bagi mengesan tiga lagi individu.
Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, seorang mangsa ditemukan pada pukul 1.30 pagi berhampiran Jambatan Pertak, kira-kira 2.7 kilometer dari lokasi kejadian di Lata Jebus.
Empat lagi mangsa ditemukan berhampiran Jambatan Senget, kira-kira satu kilometer dari lokasi mereka dihanyutkan.
JBPM menzahirkan rasa dukacita dan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat.
Dalam kejadian sama, seramai 26 individu yang terkandas di sekitar kawasan berkenaan berjaya diselamatkan pasukan penyelamat.