
TUMPAT, 16 Jun – Tindakan memecut kereta sehingga terbabas ke dalam semak selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa, membongkar aktiviti penyeludupan rokok putih.
- PGA Batalion 8 mengesan kenderaan mencurigakan; pemandu memecut lalu terbabas ke kawasan semak dan melarikan diri.
- Pemeriksaan kereta menemui beberapa kotak berisi rokok putih dipercayai barangan seludup.
- Bekalan dipercayai diseludup dari Thailand untuk dipasarkan sekitar Kota Bharu.
- Rampasan diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk siasatan mengikut Seksyen Akta Kastam 1967.
Dalam kejadian di Kampung Pulau Ular, Pengkalan Kubor petang semalam, pemandu kereta jenis Proton Wira Aeroback itu berjaya melarikan diri selepas terbabas.
Pemeriksaan lanjut mendapati, terdapat sejumlah kotak dengan muatan 3,000 batang rokok putih di dalam bonet kereta tersebut, dipercayai rokok seludup.
Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, terdahulu Batalion 8 PGA (PGA8) mengesan kenderaan yang dipandu dalam keadaan mencurigakan pada pukul 2.30 petang semalam.
“Sebaik menyedari pasukan kami, pemandunya memecut laju kenderaan ke arah kawasan semak di Kampung Kok Pauh sebelum lari meninggalkan kereta.
“Anggota cuba mengejar dan menjejakinya tetapi tidak berjaya dan pemeriksaan lanjut dalam kereta menemui sejumlah kotak yang mengandungi 3,000 batang rokok putih dianggarkan bernilai RM5,610,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Menurut beliau lagi, bekalan rokok putih terbabit dipercayai diseludup dari Thailand untuk pasaran sekitar Kota Bharu.
Rampasan diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk siasatan mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.