
TAWAU, 16 Jun – Seorang wanita orang kurang upaya (OKU) yang dilaporkan hilang oleh keluarganya sejak Ahad ditemukan meninggal dunia dalam sebuah kolam ikan di Jalan Sin Onn Tiku di sini, pada pagi Isnin.
- Ditemukan terapung oleh orang awam pada pukul 9.05 pagi sebelum dilaporkan kepada polis.
- Keluarga melaporkan mangsa hilang pada 14 Jun selepas keluar dari rumah dan tidak pulang.
- Tiada dokumen pengenalan; tiada kesan kecederaan atau unsur jenayah pada pemeriksaan dan bedah siasat.
- Punca kematian belum dapat dipastikan, menunggu keputusan ujian makmal dan siasatan diteruskan.
Mayat mangsa berusia 29 tahun itu ditemukan terapung oleh orang awam pada pukul 9.05 pagi sebelum kejadian dilaporkan kepada polis.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, siasatan awal mendapati mangsa sebelum itu dilaporkan hilang oleh ahli keluarganya pada 14 Jun selepas keluar dari rumah dan tidak pulang semula.
“Hasil pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati mangsa tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri ketika ditemukan dan tiada kesan kecederaan, pergelutan atau petunjuk yang menunjukkan unsur jenayah,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Tawau untuk tindakan lanjut dan bedah siasat.
Hasil bedah siasat mendapati tiada tanda-tanda kecederaan atau unsur jenayah pada tubuh badan mangsa.
Bagaimanapun, katanya, punca kematian masih belum dapat dipastikan dan pihak hospital sedang menunggu keputusan ujian makmal bagi melengkapkan siasatan.
“Buat masa ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan siasatan masih diteruskan,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan, selain menghormati privasi keluarga mangsa.