Rundingan AS-Iran tunjuk perkembangan positif

Foto fail AFP & Reuters

DOHA, 10 November – Rundingan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran menunjukkan perkembangan positif dalam usaha menamatkan konflik bersenjata yang berlarutan selama lapan bulan, menurut seorang pegawai Kementerian Luar Qatar, Ibrahim Al-Hashmi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Usaha diplomatik Qatar dan Pakistan memacu kemajuan dalam rundingan antara AS dan Iran.
  • Iran menuntut penamatan peperangan, pembebasan aset beku, penarikan sekatan minyak dan hentikan sekatan pelabuhan sebagai syarat penyelesaian.
  • Washington kekal bersedia gunakan tindakan ketenteraan namun kemungkinan serangan baharu rendah sementara rundingan diplomatik berlangsung.

Ibrahim berkata kemajuan sedang dicapai dalam rundingan berkenaan susulan usaha diplomatik yang diterajui Qatar dan Pakistan bagi meredakan ketegangan antara kedua-dua negara.

Perkembangan itu turut menyusul kenyataan Presiden AS, Donald Trump yang menyuarakan keyakinan terhadap momentum positif ke arah menamatkan konflik berkenaan.

Trump sebelum ini berkata terdapat perkembangan positif selepas mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Qatar merangkap Menteri Luar Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman bin Jassim Al Thani di White House pada Isnin.

Bagaimanapun, Iran menegaskan penyelesaian konflik perlu mengambil kira beberapa tuntutan Tehran, termasuk menamatkan peperangan di semua medan, membebaskan aset negara yang dibekukan, menarik balik sekatan minyak serta menghentikan sekatan AS terhadap pelabuhan Iran.

Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, berkata konflik itu tidak boleh diselesaikan menerusi tindakan ketenteraan atau peningkatan sekatan, sebaliknya memerlukan pendekatan diplomatik dan saling menghormati.

Iran turut menyatakan kesediaan membuka semula Selat Hormuz, laluan penting perdagangan tenaga dunia, dalam tempoh dua hari sekiranya Washington memenuhi tuntutan berkenaan.

Sementara itu, Trump menegaskan AS kekal bersedia mengambil tindakan ketenteraan, namun menyifatkan kemungkinan serangan baharu terhadap Iran sebagai rendah ketika usaha diplomatik masih berjalan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.