Remaja Palestin maut ditembak tentera Israel di Tebing Barat

Foto AFP

TEBING BARAT, 10 November – Seorang remaja Palestin berusia 14 tahun maut ditembak tentera Israel dalam kejadian di Burqa, barat laut Nablus, Tebing Barat pada lewat Isnin.

RINGKASAN BERITA AI
  • Israel mendakwa tembakan itu sebagai tindak balas terhadap serangan batu oleh suspek.
  • Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin berkata dua lagi cedera diberi rawatan awal dan dihantar ke hospital.
  • Tentera Israel didakwa menghalang pasukan perubatan menghampiri mangsa cedera dan menahan tiga sukarelawan.
  • Sejak 7 Okt 2023 hingga Jun 2026, sekurang-kurangnya 241 kanak-kanak atau remaja dibunuh di Tebing Barat.

Israel mendakwa tembakan terhadap Moutaz Eyad Daghlas sebagai ‘tindak balas’ akibat dibaling batu oleh mangsa.

Kematian Moutaz disahkan Kementerian Kesihatan Palestin.

Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin memaklumkan dua lagi individu yang mengalami kecederaan tembakan diberi rawatan awal sebelum dihantar ke hospital.

Bagaimanapun, tentera Israel didakwa menghalang pasukan perubatan daripada menghampiri seorang lagi mangsa yang cedera, selain menahan tiga sukarelawan.

Tentera Israel dilaporkan sering menembak menggunakan peluru hidup ke arah rakyat Palestin termasuk golongan bawah umur yang membaling batu di Tebing Barat yang diduduki.

Sekurang-kurangnya, 241 kanak-kanak atau remaja dibunuh di kawasan tersebut sejak 7 Oktober 2023 hingga Jun 2026.

Keganasan semakin memuncak minggu-minggu sempena kehangatan pilihan raya Israel.

Pada 23 Oktober lalu, sekumpulan lelaki bersenjata Palestin membunuh dua anggota tentera Israel di sebuah pusat pemeriksaan berhampiran Hebron, sebelum mereka turut terbunuh dalam insiden tembakan oleh tentera Israel.

Insiden itu kemudian mencetuskan operasi besar-besaran di bandar bergolak itu.

Menurut Pihak Berkuasa Palestin, sekurang-kurangnya 1,116 rakyat Palestin termasuk orang awam dan anggota kumpulan bersenjata, terbunuh akibat tindakan tentera atau peneroka Israel di Tebing Barat sejak perang Gaza bermula.

Dalam tempoh sama, sekurang-kurangnya 51 rakyat Israel terbunuh akibat serangan Palestin atau pertempuran antara rakyat Palestin dengan tentera Israel, berdasarkan angka rasmi Israel. -AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.