Niaga hadapan MSM ditutup bercampur-campur

Foto fail BERNAMA

KUALA LUMPUR, 10 November – Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup bercampur-campur pada Selasa, pulih daripada tekanan jualan selama dua minggu susulan petunjuk pasaran mula stabil selepas Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) mengeluarkan data bagi Oktober.

RINGKASAN BERITA AI
  • MPOB melaporkan stok minyak sawit naik kurang daripada jangkaan, menyokong pemulihan moderat pada separuh kedua sesi.
  • Eksport minyak sawit Malaysia merosot 1.89 peratus kepada 515,157 tan dalam 10 hari pertama November.
  • Jumlah dagangan dan kepentingan terbuka meningkat; sokongan sekitar RM4,200 dan rintangan RM4,300, harga fizikal November Selatan turun RM20.

Penganalisis Kanan Fastmarkets Palm Oil Analytics Sathia Varqa memberitahu Bernama bahawa pasaran mencatatkan pemulihan sederhana pada separuh kedua sesi dagangan, disokong oleh kenaikan stok minyak sawit yang lebih rendah daripada jangkaan pada Oktober berdasarkan data oleh MPOB.

Menurut MPOB, jumlah stok minyak sawit Malaysia meningkat sebanyak 110,610 tan atau 3.15 peratus, kepada 3.62 juta tan pada Oktober tahun ini daripada 3.51 juta tan pada bulan sebelumnya.

Memetik laporan Intertek Testing Services, Sathia berkata eksport minyak sawit Malaysia merosot 1.89 peratus kepada 515,157 tan dalam tempoh 10 hari pertama November berbanding 525,071 tan dalam tempoh sama pada Oktober.

Sementara itu, peniaga proprietari Iceberg X Sdn Bhd David Ng berkata niaga hadapan minyak sawit pulih daripada kerugian awal untuk ditutup lebih tinggi sedikit, disokong oleh peningkatan inventori yang lebih kecil daripada jangkaan.

“Kami mendapati paras sokongan pada sekitar RM4,200 setan dan paras rintangan pada RM4,300 setan dengan eksport Oktober yang lebih kukuh daripada jangkaan memberikan sedikit sokongan kepada sentimen pasaran,” katanya.

Pada penutup dagangan, kontrak November 2026 dan Disember 2026 masing-masing susut RM9 kepada RM4,040 setan dan RM4,138 setan, manakala Januari 2027 turun RM2 kepada RM4,256 setan.

Kontrak Februari 2027 meningkat RM6 kepada RM4,362 setan, Mac 2027 naik RM14 kepada RM4,451 setan dan kontrak April 2027 menokok RM20 kepada RM4,517 setan.

Jumlah dagangan meningkat kepada 153,954 lot daripada 131,922 lot pada Jumaat, manakala kepentingan terbuka bertambah kepada 334,827 kontrak daripada 332,934 kontrak sebelum ini.

Harga MSM fizikal untuk November Selatan susut RM20 kepada RM4,080 setan.- BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.