
PASIR MAS, 15 Jun– Dua lelaki warga China ditahan selepas dipercayai memasuki negara ini melalui laluan tidak sah di Kampung Siram, Jeram Perdah, awal pagi tadi.
- PGA merampas 45 telefon bimbit, 142 kad SIM luar negara dan dua pemacu kilat; nilai barang dirampas RM48,040.
- Pemeriksaan mendapati mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah.
- Siasatan awal mengaitkan suspek dengan kegiatan penipuan dalam talian; suspek dan barang rampasan diserahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.
Dalam operasi kira-kira pukul 4.30 pagi itu, Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 8 Pengkalan Chepa turut merampas 45 telefon bimbit, 142 kad SIM luar negara dan dua pemacu kilat (pendrive) bernilai keseluruhan RM48,040.
Komander Briged Tenggara, SAC Radzi Hussain berkata, kedua-dua suspek berusia 32 dan 34 tahun itu ditahan selepas dikesan dalam keadaan mencurigakan di kawasan belukar hasil maklumat awam.
“Pemeriksaan mendapati mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah dan dipercayai memasuki Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan.
Siasatan awal turut mendapati kedua-dua suspek dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan penipuan dalam talian berdasarkan jumlah telefon bimbit dan kad SIM yang ditemukan,” katanya.
Bagaimanapun, soal siasat lanjut masih belum dapat dijalankan kerana kedua-dua suspek tidak boleh bertutur dalam Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris.
Suspek bersama barang rampasan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah IPD Pasir Mas untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.