Kerabat perlu hormati undang-undang – Sultan Selangor

Foto FB Selangor Royal Office

SHAH ALAM, 20 Oktober – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menegaskan bahawa kedudukan sebagai kerabat diraja bukan alasan untuk seseorang bertindak sesuka hati atau mengambil kesempatan demi kepentingan peribadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerabat wajib menjaga tingkah laku dan nama baik institusi Diraja Selangor kerana perbuatan individu menjejaskan pandangan masyarakat.
  • Hormatilah undang-undang dan peraturan; jangan gunakan kedudukan kerabat diraja untuk memperdaya atau mengambil kesempatan demi kepentingan peribadi.
  • Selesaikan perselisihan dengan baik dan berhemah; tingkatkan pertemuan keluarga serta baca Salasilah Keturunan untuk memahami sejarah dan susur galur.

Baginda bertitah, setiap kerabat bertanggungjawab menjaga tingkah laku dan nama baik institusi Diraja Selangor kerana perbuatan individu boleh menjejaskan pandangan masyarakat terhadap seluruh keluarga diraja.

“Kita mempunyai amanah untuk menjaga nama baik kerabat dan institusi Diraja Selangor. Setiap kerabat bertanggungjawab terhadap tingkah laku dan tindakan masing-masing kerana perbuatan seseorang boleh menjejaskan pandangan masyarakat terhadap seluruh keluarga Diraja Selangor.

“Beta tidak berkenan jika ada dalam kalangan kerabat Beta mengambil kesempatan atas nama kerabat diraja untuk memperdaya orang lain demi kepentingan peribadi. Hormatilah undang-undang dan patuhilah segala peraturan yang berkuat kuasa. Kedudukan sebagai kerabat diraja bukanlah alasan untuk bertindak sesuka hati.

“Sehubungan itu, Beta menyeru agar kita terus bersatu mempertahankan martabat institusi Raja serta memelihara kehormatan kerabat Diraja Selangor. Tunjukkanlah teladan yang baik dan layanilah masyarakat dengan penuh berhemah,” titah baginda.

Titah itu dizahirkan ketika Majlis Jamuan Teh bersama Kerabat Diraja Selangor bersempena Sambutan Jubli Perak pemerintahan Baginda di Istana Alam Shah, Klang, Selangor.

Dalam pada itu, Baginda menasihati kerabat diraja supaya menyelesaikan sebarang perselisihan faham secara baik dan berhemah.

Baginda turut berharap pertemuan itu menjadi titik tolak kepada penganjuran lebih banyak pertemuan keluarga diraja pada masa akan datang.

Selain itu, Baginda menyeru setiap kerabat membaca buku Salasilah Keturunan, Waris dan Kerabat Diraja Selangor yang bakal dilancarkan bagi memahami sejarah serta susur galur Kesultanan Selangor.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.