IPT bantu lahir lebih ramai tenaga mahir industri halal

Foto janaan AI

NILAI, 9 Mei – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memperkukuh kerjasama dengan institusi pengajian tinggi (IPT) bagi melahirkan lebih ramai tenaga mahir dalam industri halal negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sebahagian universiti dilantik sebagai penyedia latihan halal untuk melatih pemain industri, termasuk melahirkan eksekutif dan juruaudit halal dalaman.
  • Langkah ini memperkasa ekosistem halal dan meningkatkan kesedaran pensijilan serta pengurusan halal dalam kalangan generasi muda.
  • Festival di USIM mengumpulkan program industri halal termasuk Muzakarah Tenaga Pengajar, pertandingan debat dan bahas halal.
  • Penggunaan label 'Muslim Friendly' tanpa sijil halal berjaya dikawal; penguatkuasaan dan pemantauan akan terus diperkasa bersama KPDN.

Pengarah Bahagian Pengurusan Halal JAKIM, Muhyidin Aziz@Saari berkata sebahagian universiti telah dilantik sebagai penyedia latihan halal untuk melatih pemain industri termasuk melahirkan eksekutif dan juruaudit halal dalaman.

Menurut beliau, langkah itu penting dalam memperkasa ekosistem halal negara selain meningkatkan kesedaran berkaitan pensijilan dan pengurusan halal dalam kalangan generasi muda.

“Kita telah melantik sebahagian institusi sebagai penyedia latihan yang terlibat dalam melatih industri, termasuk melahirkan halal eksekutif dan juruaudit halal dalaman.

“Penganjuran program seperti ini memberi nilai tambah kepada kesedaran halal dan pastinya memberi impak besar kepada ekosistem halal itu sendiri,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Penutup Festival Produk Halal dan Pelancongan Islam Madani di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), di sini, hari ini.

Dalam pada itu, program tersebut turut menyokong agenda USIM sebagai universiti berteraskan Maqasid Syariah serta memperkasa pembudayaan ilmu halal dalam kalangan masyarakat.

Festival yang berlangsung sejak 7 Mei lalu itu menghimpunkan pelbagai program berkaitan industri halal termasuk Muzakarah Tenaga Pengajar dan Fasilitator Sektor Halal Peringkat Kebangsaan 2026 serta pertandingan debat dan bahas halal.

Dalam perkembangan lain, beliau menegaskan isu penggunaan label “Muslim Friendly” tanpa pengesahan sijil halal rasmi pada produk atau premis berjaya dikawal hasil tindakan penguatkuasaan pihak berkuasa.

Menurut beliau, pihak yang didapati menggunakan label berkenaan tanpa kebenaran telah diarahkan menghentikan perbuatan itu bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan pengguna.

“Setakat ini, kita tidak menerima laporan perkara itu masih berlaku. Namun, sekiranya ia berterusan, tindakan akan diambil bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN),” katanya.

Beliau berkata pemantauan dan penguatkuasaan akan terus diperkasa bagi memastikan integriti pensijilan halal negara sentiasa terpelihara.