Rundingan damai AS-Iran: Harga minyak dunia turun mendadak

Harga minyak dipaparkan di sebuah stesen minyak di Munich, Jerman/Foto REUTERS

NEW YORK, 16 Jun – Harga minyak dunia merosot ke paras terendah dalam tempoh tiga bulan selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan memorandum persefahaman antara AS dan Iran.

RINGKASAN BERITA AI
  • Niaga hadapan Brent susut AS$4.11 kepada AS$83.22, manakala WTI turun AS$4.34 kepada AS$80.54 setong.
  • Majlis pemeteraian rasmi dijadual di Geneva, dan media Iran melaporkan draf perjanjian memperuntukkan pembukaan semula Selat Hormuz dalam 30 hari.
  • Selat Hormuz mengendalikan kira-kira satu perlima bekalan minyak dunia; IEA: lebih 14 juta tong sehari masih terjejas.

Niaga hadapan minyak mentah Brent susut AS$4.11 atau 4.7 peratus kepada AS$83.22 setong.

Manakala minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) Amerika Syarikat turun AS$4.34 atau 5.1 peratus kepada AS$80.54 setong.

Kedua-dua penanda aras itu mencatat paras terendah sejak 10 Mac lalu berikutan jangkaan bekalan minyak global akan kembali meningkat selepas pembukaan semula Selat Hormuz.

Majlis pemeteraian rasmi perjanjian berkenaan dijadual berlangsung di Geneva, Switzerland pada Jumaat ini.

Media Iran melaporkan draf perjanjian itu turut memperuntukkan pembukaan semula Selat Hormuz dalam tempoh 30 hari di bawah pengaturan Tehran.

Selat Hormuz merupakan laluan strategik yang mengendalikan kira-kira satu perlima daripada bekalan minyak dan gas asli cecair dunia.

Konflik yang berlarutan lebih tiga bulan sebelum ini menyebabkan berjuta-juta tong bekalan minyak dan gas terjejas.

Konflik itu sekali gus memberi tekanan kepada pasaran tenaga global.

Penganalisis bagaimanapun menjangka proses pemulihan bekalan minyak dan operasi perkapalan di rantau Teluk akan mengambil masa berikutan kerosakan akibat konflik serta kebimbangan syarikat perkapalan dan insurans.

Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) menganggarkan lebih 14 juta tong sehari pengeluaran minyak, bersamaan kira-kira 14 peratus permintaan global, masih terjejas akibat konflik tersebut. – REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.