
PETALING JAYA, 15 Jun – Presiden Timor-Leste, Jose Ramos-Horta menyifatkan hubungan diplomatik antara Dili dengan Kuala Lumpur sebagai sangat baik, selain memuji kedudukan global Malaysia dalam aspek keselamatan, kebebasan dan demokrasi.
- Malaysia menyokong Timor-Leste sebelum kemerdekaan melalui pasukan pengaman pada 1999.
- Kepimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim membantu perkembangan ekonomi dan peranan Malaysia di pentas antarabangsa.
- Ramos-Horta mengucapkan tahniah Hari Wartawan Nasional dan menekankan peranan semua pekerja media, termasuk teknikal dan pereka grafik.
Pemenang Hadiah Keamanan Nobel dan bekas wartawan itu berkata Malaysia telah menyokong Timor-Leste sejak sebelum kemerdekaannya pada 2002 lagi melalui pasukan pengaman pada 1999.
“Daripada pemerhatian saya, Malaysia berada pada prestasi yang sangat baik untuk tempoh yang lama, sejak 40 tahun lepas. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, ketokohan (Perdana Menteri Datuk Seri) Anwar Ibrahim telah membolehkan ekonomi dan peranan Malaysia berkembang di peringkat antarabangsa,” katanya kepada pemberita selepas sesi dialog bersama pelajar di sebuah universiti swasta di sini.
Ramos-Horta sedang mengadakan lawatan khas selama lima hari ke Malaysia sehingga Rabu ini.
Dalam pada itu, sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 pada Sabtu ini, beliau merakamkan tahniah kepada seluruh warga media tempatan atas peranan penting dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat.
Selaku bekas wartawan, katanya tugas media bukan hanya terhad kepada wartawan dan penulis, malah melibatkan pelbagai tenaga kerja di belakang tabir.
Ini termasuk kakitangan teknikal, pereka grafik, serta individu yang bertanggungjawab menghasilkan kandungan visual.