
DOHA, 8 November – Malaysia menegaskan kedaulatan setiap negara dalam menentukan hala tuju serta dasar telekomunikasi masing-masing perlu dihormati tanpa dipengaruhi atau didominasi negara yang lebih maju dari segi teknologi, sekali gus mengelakkan ancaman “kolonialisme teknologi”.
- Negara mesti bebas tentukan dasar telekomunikasi sendiri, hormati kedaulatan dalam pengurusan infrastruktur digital.
- Pengalaman Malaysia 5G: mula dengan model rangkaian borong tunggal, beralih kepada model dwirangkaian; perlukan pengurusan diplomatik dan teknikal.
- Perlu dialog antarabangsa dan kerjasama untuk mencari titik persamaan dalam era multipolar, bukan memperluas jurang perbezaan.
- Tumpu bantuan negara membangun merapatkan jurang digital, tingkatkan penggunaan praktikal 5G sebelum beralih ke 6G dan komunikasi kuantum.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, setiap negara berhak menentukan pembangunan dan penggunaan infrastruktur digital sendiri, khususnya ketika persaingan geopolitik serta ekosistem teknologi yang semakin kompleks mempengaruhi landskap telekomunikasi global.
“Tidak seharusnya wujud kolonialisme teknologi, iaitu keadaan apabila negara yang lebih maju atau menjadi peneraju teknologi menentukan perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan oleh negara lain.
“Setiap negara mempunyai kedaulatan sendiri dan berhak menentukan dasar domestik masing-masing.
“Dalam era yang semakin multipolar ini, kita perlu mengadakan lebih banyak perbincangan dan memperkukuh penglibatan antara negara bagi mencari titik persamaan, bukannya perkara yang boleh memecahbelahkan kita,” katanya ketika menyertai perbincangan panel peringkat menteri pada Kongres Mudah Alih Sedunia (MWC) Doha 2026.
Datuk Seri Fahmi berkata, pengalaman Malaysia melaksanakan rangkaian generasi kelima (5G) membuktikan kepentingan kebebasan menentukan dasar negara, meskipun berdepan pertimbangan geopolitik dan diplomatik yang kompleks.
Menurutnya, Malaysia pada awalnya memilih model rangkaian borong tunggal bagi pelaksanaan 5G, meskipun pendekatan itu tidak disarankan GSMA Intelligence, sebelum beralih kepada model dwirangkaian.
“Malaysia mempunyai pendekatan tersendiri kerana kita melaksanakan sesuatu yang tidak disarankan oleh GSMA Intelligence, iaitu memperkenalkan rangkaian 5G menerusi model rangkaian borong tunggal.
“Namun, kita tetap melaksanakannya dan saya merupakan menteri yang bertanggungjawab menguruskan peralihannya kepada model dwirangkaian.
“Proses itu turut melibatkan pelbagai cabaran diplomatik. Pada masa sama, kita mahu memperkukuh kerjasama dan saling kendali antara rangkaian.
Namun, perbincangan tidak seharusnya hanya tertumpu kepada kedaulatan digital, sebaliknya turut merangkumi kedaulatan negara secara keseluruhan,” katanya.
Mengulas hala tuju pembangunan telekomunikasi, Datuk Seri Fahmi berkata industri perlu memberi keutamaan kepada peningkatan penggunaan rangkaian 5G dan 5G-Advanced sebelum beralih kepada teknologi generasi keenam (6G).
“Sebelum kita bercakap mengenai 6G, kita perlu melihat sejauh mana penggunaan sebenar rangkaian 5G atau 5G-Advanced dalam kalangan pengguna. Perkara itu masih menjadi cabaran yang sedang kita hadapi di Malaysia.
“Usaha menggalakkan penggunaan sistem komunikasi yang selamat, termasuk komunikasi berasaskan teknologi kuantum, juga perlu dipertingkatkan.
“Walaupun terdapat pelbagai cabaran, masih banyak peluang untuk kita meneroka penyelesaian secara bersama. Malah, penyelesaian itu mungkin datang daripada negara yang tidak pernah kita jangkakan,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan pendekatan berasaskan konsensus ASEAN yang mengutamakan penghormatan terhadap kedaulatan setiap negara anggota, selain usaha memperkukuh kepercayaan dan kerjasama antarabangsa bagi memastikan saling kendali antara rangkaian serta teknologi telekomunikasi.
Katanya, usaha merapatkan jurang digital dalam kalangan negara membangun juga perlu diberikan perhatian, terutama ketika industri telekomunikasi bersiap sedia menghadapi perkembangan teknologi kuantum dan sistem komunikasi selamat.