AS tubuh pasukan khas sekat laluan darat ke Iran

Situasi terkini di Tehran, rakyat Iran berterusan protes serangan AS-Israel terhadap Iran./ AFP

WASHINGTON, 8 November – Tentera Amerika Syarikat (AS) mengumumkan penubuhan pasukan petugas khas yang dianggotai 20 anggota bagi mengenal pasti langkah untuk menyekat laluan darat ke Iran yang didakwa digunakan bagi penghantaran senjata dan bahan terlarang.

RINGKASAN BERITA AI
  • AS meluaskan sekatan, termasuk sekatan laut, ketika konflik memasuki bulan kelapan.
  • Tehran mengehadkan perkapalan melalui Selat Hormuz, menjejaskan bekalan tenaga dunia.
  • CENTCOM mendakwa sekatan laut menghalang eksport minyak Iran bernilai lebih AS$25 bilion.
  • IRGC menyifatkan langkah AS tidak berjaya, menegaskan ia tidak mampu meruntuhkan ekonomi atau memutus hubungan jirannya.

Langkah itu dijangka memperluas sekatan terhadap Iran susulan pelaksanaan sekatan laut AS ke atas pelabuhan negara itu ketika konflik antara kedua-dua negara memasuki bulan kelapan.

Dalam konflik berkenaan, Tehran turut mengehadkan laluan perkapalan melalui Selat Hormuz, laluan perdagangan strategik yang menjadi nadi bekalan tenaga global, sekali gus menjejaskan bekalan tenaga dunia.

Ketua Markas Pusat Operasi Amerika Syarikat (CENTCOM), Jeneral Brad Cooper berkata, pasukan petugas itu akan memperketat keupayaan Iran untuk membiayai kegiatan keganasan, membina semula kilang senjata serta menambah bekalan ketenteraannya.

Menurut beliau dalam kenyataan yang dimuat naik di platform X pada Sabtu, pasukan berkenaan akan terdiri daripada anggota awam dan tentera yang berpangkalan di Florida.

Pasukan itu akan menyelaras tindakan dengan agensi kerajaan AS bagi menghalang pergerakan sistem persenjataan canggih, teknologi dwiguna, bahan yang dikenakan sekatan serta aliran hasil haram merentasi sempadan darat Iran dan Laut Kaspia.

Bagaimanapun, Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) menyifatkan usaha terbaharu Washington itu sebagai tidak akan berhasil dan menegaskan ia tidak mampu mencetuskan keruntuhan ekonomi Republik Islam berkenaan.

Jurucakap IRGC, Hossein Mohebi berkata, Amerika Syarikat tidak akan berjaya melaksanakan sekatan ekonomi yang dirancang terhadap Iran, meskipun menggunakan pelbagai pendekatan dan nama berbeza.

“Amerika Syarikat tidak akan sekali-kali mampu mengenakan sekatan ekonomi seperti yang sedang diusahakan dan dicadangkan melalui pelbagai nama serta rancangan,” katanya seperti dilaporkan agensi berita Fars.

Beliau turut menegaskan bahawa Washington gagal mencapai matlamat untuk memberikan tekanan ekonomi melampau sehingga menyebabkan keruntuhan dan perpecahan ekonomi Iran.

Mohebi berkata, AS juga tidak berupaya menyekat saluran komunikasi antara Iran dengan negara-negara jirannya.

Sementara itu, CENTCOM mendakwa sekatan laut terhadap pelabuhan Iran telah menghalang negara itu daripada mengeksport minyak mentah bernilai lebih AS$25 bilion.

Pada Ogos lalu, Washington mengumumkan kempen yang disifatkannya sebagai “cekikan ekonomi” terhadap Iran, bertujuan melumpuhkan ekonomi negara itu yang sedia terjejas.

Langkah berkenaan dilaksanakan sebagai tindak balas terhadap tindakan Tehran menyekat laluan di Selat Hormuz, susulan insiden pasukan Iran berulang kali menyasarkan kapal yang cuba melalui laluan strategik itu tanpa kebenaran. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.