Pembinaan fasiliti cat kenderaan buka peluang pekerjaan di Melaka

Foto RTM

ALOR GAJAH, 15 Jun – Pembinaan fasiliti mengecat kenderaan di Taman Perindustrian HICOM Pegoh bakal membuka peluang pekerjaan untuk penduduk tempatan.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, pelajar bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) antara golongan yang disyorkan untuk mencuba nasib di fasiliti berkenaan yang dijangka siap pada 2027.

Katanya, fasiliti yang dibangunkan oleh EP Manufacturing Berhad (EPMB) itu dijangka dapat menampung 60,000 unit kenderaan setahun.

“Untuk bahagian pengecatan memerlukan 300 orang pekerja. Mereka mestilah mempunyai kemahiran yang tinggi dan kemahiran yang mencapai tahap antarabangsa boleh memohon kerja di sini. Maksudnya, lulusan TVET ini akan diasuh dan dilatih oleh pihak EPMB dan dihantar ke China untuk mendapatkan satu kualiti produk yang terbaik,” katanya.

Beliau sebelum itu menghadiri Majlis Pecah Tanah Fasiliti Pengecatan Badan Kenderaan EPMB di Taman Perindustrian HICOM Pegoh di sini.

Tambahnya, kerajaan negeri komited untuk membantu menyediakan peluang pekerjaan untuk anak tempatan dalam pelbagai sektor.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.