Lebih 70 peratus polisi insurans tiada perlindungan banjir – PIAM

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 8 November – Lebih 70 peratus polisi insurans kenderaan bermotor di Malaysia tidak mempunyai perlindungan tambahan banjir, sekali gus mendedahkan sebahagian besar pemilik kenderaan kepada risiko kerugian sekiranya berlaku bencana.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemilik kenderaan digalakkan menyemak polisi untuk memastikan perlindungan banjir atau special perils dimasukkan.
  • Insurans asas tidak semestinya meliputi kerosakan akibat banjir; pemilik mungkin terpaksa menanggung kos sendiri.
  • Hanya kira-kira 28 hingga 30 peratus polisi kenderaan mempunyai perlindungan tambahan banjir, menurut PIAM.
  • Kos perlindungan tambahan bagi kenderaan bernilai RM100,000 antara RM150 hingga RM500, masih berbaloi berbanding potensi kerugian.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM), Chua Kim Soon berkata, keadaan itu membimbangkan susulan kejadian banjir kilat yang semakin kerap berlaku, khususnya di Lembah Klang, ketika negara berdepan kesan perubahan iklim.

Beliau berkata pemilik kenderaan perlu menyemak polisi insurans masing-masing bagi memastikan perlindungan banjir atau special perils dimasukkan kerana perlindungan insurans asas tidak semestinya merangkumi kerosakan akibat bencana berkenaan.

“Kami bimbang kerana pada masa ini, secara purata, hanya kira-kira 28 hingga 30 peratus polisi insurans dalam segmen kebakaran dan kenderaan bermotor mempunyai perlindungan tambahan banjir.

“Keadaan ini mendedahkan rakyat Malaysia kepada risiko kewangan tinggi kerana sekiranya mereka tidak mempunyai perlindungan banjir dan mengalami sebarang kerugian, mereka terpaksa menanggung sendiri kos kerosakan tersebut.” katanya kepada pemberita selepas sesi penerangan bersama media di Wisma PIAM, di sini.

Kim Soon menambah, kos mendapatkan perlindungan tambahan banjir bagi kenderaan bermotor bernilai RM100,000 adalah antara RM150 hingga RM500, bergantung kepada polisi dan perlindungan yang ditawarkan.

Katanya, jumlah premium itu masih berpatutan berbanding potensi kerugian yang perlu ditanggung pemilik sekiranya kenderaan mereka ditenggelami air atau mengalami kerosakan akibat banjir.

Beliau berkata, PIAM bagaimanapun berpendirian perlindungan berkenaan wajar kekal sebagai pilihan pemegang polisi, memandangkan tahap risiko dan kemampuan kewangan setiap individu berbeza.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.