Diaspora Malaysia di Qatar laksana simulasi pengungsian hadapi ancaman perang, nuklear

Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil bersama diaspora Malaysia di Doha/Foto Facebook Fahmi Fadzil

DOHA, 8 November – Diaspora Malaysia di Qatar mengambil langkah proaktif memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi situasi kecemasan dengan melaksanakan beberapa program simulasi pengungsian termasuk bagi menghadapi ancaman peperangan dan nuklear.

RINGKASAN BERITA AI
  • MAQ sebagai jaringan sokongan Kedutaan membantu mengurus kira-kira 6,000 rakyat Malaysia semasa krisis, termasuk membawa pulang mereka.
  • Komuniti Malaysia di Qatar aktif, tersusun dan patriotik, dengan kira-kira 6,200 menetap serta berkhidmat dalam pelbagai sektor penting.
  • MAQ anjur ceramah dan konsert dalam talian untuk meredakan keresahan rakyat semasa krisis; wujudkan Malaysia Business Associations Council dan Qampung.
  • Lawatan Menteri Fahmi perkukuh silaturahim kerajaan dengan diaspora; pertemuan buka ruang penjelasan dasar dan isu keselamatan kanak-kanak serta jenayah dalam talian.

Duta Besar Malaysia ke Qatar Faizal Razali berkata inisiatif yang digerakkan komuniti Malaysia menerusi Malaysian Association in Qatar (MAQ) itu turut melibatkan rakyat Malaysia di Bahrain sebagai persediaan menghadapi kemungkinan berlakunya krisis keselamatan di rantau berkenaan.

Beliau berkata MAQ yang menaungi kira-kira 30 kelab komuniti memainkan peranan penting sebagai jaringan sokongan kepada Kedutaan Besar Malaysia, khususnya dalam membantu rakyat Malaysia ketika berdepan situasi krisis.

“MAQ, ketua-ketua komuniti yang berada bersama kita, focal point yang telah dilantik, telah berjaya membantu kedutaan untuk menguruskan kira-kira 6,000 rakyat Malaysia semasa krisis, termasuk membawa keluar rakyat Malaysia untuk pulang ke tanah air,” katanya ketika berucap pada majlis pertemuan Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil bersama diaspora Malaysia, di sini semalam.

Faizal berkata MAQ turut menganjurkan pelbagai program interaktif termasuk ceramah dan konsert dalam talian bagi membantu meredakan keresahan rakyat Malaysia ketika berdepan situasi krisis.

Menurutnya, terdapat kira-kira 6,200 rakyat Malaysia menetap di Qatar yang berkhidmat dalam pelbagai sektor profesional dan penting, dengan komuniti berkenaan disifatkan antara paling aktif, tersusun dan patriotik di rantau ini.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada ketua-ketua komuniti serta individu yang dilantik sebagai pusat rujukan atau focal point atas komitmen membantu kedutaan menjaga kebajikan rakyat Malaysia.

“Rakyat Malaysia di Qatar adalah antara yang paling berdisiplin, saling membantu, patriotik, dan sentiasa menjaga nama baik Malaysia. Malah, kerajaan Qatar sendiri turut memandang tinggi dan mengiktiraf kepakaran anak-anak bangsa kita di sini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Faizal berkata semangat perpaduan rakyat Malaysia di Qatar terus diperkukuh menerusi penganjuran Sukan Malaysia Qatar melibatkan 16 jenis sukan, sambil menambah acara perahu naga yang diadakan baru-baru ini menarik penyertaan kira-kira 200 peserta, manakala jumlah keseluruhan termasuk penyokong mencecah kira-kira 500 orang.

Beliau berkata Malaysia Business Associations Council turut diwujudkan bagi memacu kerjasama ekonomi antara Malaysia dan Qatar, selain persatuan belia Qampung yang aktif dalam program sosial, kebudayaan dan patriotisme.

Faizal berkata kehadiran Fahmi ke Doha juga memperkukuh hubungan silaturahim antara rakyat Malaysia di perantauan dengan kerajaan walaupun berada jauh dari tanah air.

Sementara itu, rakyat Malaysia Edwin John Clement Henry, 49, berkata akses kepada maklumat tepat dan sahih adalah penting bagi mengelakkan kekeliruan, khususnya ketika berdepan ketegangan geopolitik di rantau Asia Barat serta penyebaran pelbagai khabar angin menerusi media sosial.

Edwin yang menetap di Qatar sejak 2007 berkata terdapat tanggapan dalam kalangan masyarakat di tanah air bahawa rakyat Malaysia di negara itu berada dalam keadaan tidak selamat hingga perlu dipindahkan pulang.

Bagaimanapun, katanya tanggapan itu tidak menggambarkan situasi dialaminya dan keluarga di Qatar.

“Jadi, saya boleh katakan bahawa kami berasa selamat meskipun berdepan dengan isu geopolitik yang berlaku. Saya dan keluarga berasa sangat selamat berada di sini,” kata anak kelahiran Selangor itu.

Edwin yang aktif dalam MAQ berkata sesi bersemuka dengan pemimpin kerajaan amat penting bagi membolehkan diaspora mendapatkan penjelasan langsung mengenai perkembangan semasa dan dasar kerajaan.

Katanya, pertemuan bersama Menteri Komunikasi turut membuka ruang kepada diaspora membangkitkan isu yang dekat dengan kehidupan mereka, termasuk usaha kerajaan memperkukuh perlindungan kanak-kanak daripada ancaman pedofilia dan jenayah dalam talian.- BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.