Stor penyimpanan KTMB di Sepang terbakar

Foto JBPM

SEPANG, 8 November – Sebuah stor penyimpanan peralatan milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Desa Pinggiran Putra dekat sini hampir musnah dalam satu kejadian kebakaran, lewat malam tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Barangan stor terbakar termasuk kontena, transformer dan beberapa tong gas musnah.
  • JBPM terima panggilan kecemasan pada 10.42 malam; BBP Dengkil, Bangi dan Cyberjaya dikejarkan ke lokasi.
  • Operasi kawal kebakaran berjaya elak merebak ke kawasan kediaman; tiada kecederaan dilaporkan, punca dan kerugian disiasat.

Insiden berkenaan memusnahkan barangan stor termasuk kontena, transformer serta beberapa tong gas yang berada di lokasi berkenaan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian tersebut pada pukul 10.42 malam.

“Susulan panggilan itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Dengkil bersama bantuan daripada BBP Bangi dan BBP Cyberjaya segera dikejarkan ke lokasi kejadian untuk mengawal serta memadamkan kebakaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menambah, pihak operasi bertindak pantas menjalankan kawalan sempadan kebakaran bagi mengelakkan api daripada merebak ke kawasan kediaman dan struktur berhampiran.

“Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam insiden berkenaan, manakala punca kejadian serta anggaran jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak berkuasa,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.