Penduduk Gaza kecewa tidak termasuk dalam perjanjian AS-Iran

Seorang lelaki membantu wanita melalui runtuhan bangunan yang musnah akibat serangan Israel di kem pelarian Maghazi, Gaza/Foto AFP

GAZA CITY, 16 Jun – Penduduk Palestin di Gaza meluahkan rasa kecewa selepas perjanjian antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran tidak merangkumi sebarang penyelesaian bagi Gaza.

RINGKASAN BERITA AI
  • Krisis kemanusiaan Gaza berterusan, wilayah terus terpinggir walaupun menghadapi penderitaan yang mendalam.
  • Isu Palestin dianggap punca utama konflik; penyelesaian menyeluruh diperlukan untuk memastikan mana-mana perjanjian berjaya.
  • Gaza menghadapi pelbagai kesukaran keselamatan, politik, ekonomi dan sosial akibat perang yang berpanjangan.
  • Walaupun ada harapan perjanjian beri perubahan, penduduk masih mengalami pembunuhan, penyeksaan dan kepungan setiap hari.

Mereka berpendapat wilayah itu terus terpinggir walaupun berdepan krisis kemanusiaan yang berlarutan akibat perang yang berterusan sejak hampir dua tahun empat bulan lalu.

Penduduk Gaza, Anwar Matar berkata isu Palestin merupakan punca utama konflik di rantau itu dan perlu diselesaikan terlebih dahulu bagi memastikan sebarang perjanjian keamanan berjaya.

“Isu Palestin adalah asas kepada masalah dan juga asas kepada penyelesaiannya. Tanpa penyelesaian menyeluruh, tiada perjanjian melibatkan Iran, Eropah, Lubnan atau Amerika yang akan berjaya,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Sameh Aljedi berkata rakyat Palestin berasa sedih kerana perjanjian gencatan senjata Iran-AS tidak merangkumi Gaza yang kini berdepan pelbagai kesukaran keselamatan, politik, ekonomi dan sosial.

Katanya, keadaan itu berpunca daripada perang yang berlarutan hampir dua tahun empat bulan.

Sementara itu, Amr Al-Dahoudi berkata penduduk Gaza masih berharap perjanjian tersebut dapat menjadi langkah positif ke arah menamatkan serangan Israel di wilayah berkenaan.

“Kami hidup dalam keadaan kemanusiaan yang amat sukar. Kami berharap perjanjian ini dapat membawa perubahan positif di Gaza dan menamatkan pencerobohan Israel,” katanya.

Bagi Louis Hamdan pula, penduduk Gaza masih berdepan penderitaan walaupun perjanjian itu diumumkan.

“Kami masih berada dalam peperangan dan perjuangan ini. Israel terus mengenakan pembunuhan, penyeksaan dan kepungan yang paling dahsyat terhadap kami setiap hari. Perjanjian ini adalah dengan Iran, manakala Gaza dibiarkan bersendirian,” katanya. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.