
BEIRUT, 16 Jun – Perjanjian antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran yang menamatkan perang Israel-Hizbullah masih meninggalkan banyak persoalan yang belum terjawab di Lubnan.
- Butiran perjanjian tidak didedahkan; Lubnan tidak dimaklumkan syarat atau tarikh gencatan senjata.
- Tiada pengunduran jelas tentera Israel; mereka kekal di selatan Lubnan dan menyeberangi Sungai Litani.
- Perjanjian tidak menuntut pelucutan senjata Hizbullah; Iran tidak nampak komitmen hentikan sokongan.
- Rundingan Washington dipersoal; Lubnan berisiko tertinggal akibat dasar AS, kepentingan Iran, dan kegagalan pemimpin tempatan.
Perjanjian itu termasuk isu pengunduran tentera Israel dari negara itu dan masa depan sokongan Tehran terhadap Hizbullah pro-Iran.
Di bawah tekanan Washington, pegawai Lubnan telah mengadakan rundingan secara langsung dengan Israel bagi mencapai perjanjian berasingan untuk menamatkan permusuhan, namun Beirut dilihat diketepikan susulan pengumuman perjanjian konflik serantau itu pada awal Isnin.
Apakah Kandungan Perjanjian Itu?
Butiran perjanjian bagi menamatkan perang di Asia Barat di semua medan konflik masih belum didedahkan kepada umum, namun Iran dan Pakistan selaku pengantara mengesahkan bahawa Lubnan turut termasuk dalam skop perjanjian tersebut.
Pada 2 Mac lalu, Lubnan melancarkan serangan roket ke atas Israel sebagai tindak balas terhadap pembunuhan pemimpin tertinggi Iran dalam serangan bersama AS dan Israel.
Israel kemudian bertindak balas dengan melancarkan serangan udara dan operasi darat yang mengorbankan lebih 3,700 orang serta menyebabkan lebih sejuta penduduk kehilangan tempat tinggal.
Sumber rasmi memberitahu AFP bahawa Lubnan tidak dimaklumkan mengenai syarat perjanjian mahupun masa pelaksanaan gencatan senjata.
Speaker Parlimen Lubnan, Nabih Berri, yang juga sekutu Hizbullah dan pengantara kumpulan itu, mengucapkan terima kasih kepada Washington dan Tehran atas ketegasan mereka memasukkan klausa penting berkaitan untuk menghentikan serangan Israel ke seluruh wilayah Lubnan.
Setakat Isnin, Hizbullah tidak melaporkan sebarang serangan baharu terhadap sasaran Israel.
Pengunduran Tentera Israel?
Maklumat yang tersebar mengenai perjanjian itu tidak menyebut sebarang pengunduran tentera Israel dari selatan Lubnan.
Malah, Zionis Israel akan berada di Lubnan untuk tempoh yang tidak ditetapkan.
Tentera Israel ketika ini menguasai kawasan sepanjang sempadan Lubnan-Israel.
Sumber ketenteraan Barat memberitahu AFP bahawa tentera Israel turut menyeberangi Sungai Litani di beberapa lokasi.
Menurut sumber itu, puluhan ribu anggota tentera Israel kini berada di selatan Lubnan manakala Hizbullah masih mengekalkan kehadiran di kawasan berkenaan.
Operasi itu disifatkan sebagai pencerobohan terbesar Israel sejak pengundurannya dari Lubnan pada tahun 2000 selepas hampir dua dekad menduduki negara tersebut.
Hizbullah pula telah menghantar pasukan tambahan ke kawasan selatan Sungai Litani selepas tercetusnya konflik yang terbaharu.
Di bawah perjanjian gencatan senjata 2024 yang dicapai, selepas pusingan konflik terdahulu, pejuang Hizbullah sepatutnya berundur dari kawasan tersebut.
Apakah Masa Depan Hizbullah?
Washington telah memberi tekanan kepada pihak berkuasa Lubnan selama beberapa bulan untuk melucutkan senjata Hizbullah, namun perkara itu tidak disebut dalam perjanjian tersebut.
Karim Bitar berkata Iran juga tidak dilihat memberi komitmen untuk menghentikan sokongan dan pembiayaan kepada Hizbullah.
Pakar ketenteraan, Riad Kahwaji pula berkata Hizbullah tidak akan bersetuju menyerahkan senjatanya dan krisis itu dijangka berpanjangan.
Menurut beliau, keadaan itu boleh membawa kepada ketidakstabilan politik dan kemungkinan tercetusnya pergolakan dalaman.
“Terutama apabila Hizbullah percaya bahawa melalui Iran, ia muncul sebagai pihak yang memperoleh kemenangan daripada perjanjian ini dan akan cuba menentukan syarat-syarat berkaitan siapa yang akan memerintah,” katanya.
Rundingan Israel-Lubnan
Lubnan dan Israel telah mengadakan rundingan secara langsung di Washington sejak April lalu dalam usaha menamatkan permusuhan serta memisahkan Lubnan daripada konflik serantau.
Pusingan baharu rundingan dijadual berlangsung hujung bulan ini.
Perdana Menteri Lubnan, Nawaf Salam berkata kerajaan akan menggandakan usaha menerusi rundingan di Washington bagi memastikan pengunduran penuh tentera Israel dari wilayah Lubnan.
Bagaimanapun, selepas pengumuman perjanjian AS-Iran itu, ada pihak mula mempersoalkan keberkesanan rundingan dua hala tersebut.
Karim Bitar berkata Lubnan berisiko sekali lagi menjadi mangsa keadaan yang terpaksa menanggung akibat daripada kelemahan dasar AS, kepentingan Iran, keangkuhan Israel serta kegagalan pemimpin politik tempatan merangka strategi yang jelas untuk negara itu. – AFP