PBB sambut baik perjanjian damai AS-Iran

Penduduk kembali ke rumah masing-masing di selatan Lubnan susulan perjanjian damai AS-Iran/Foto REUTERS

AMERIKA SYARIKAT, 16 Jun – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyifatkan perjanjian damai antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran sebagai langkah penting ke arah penyelesaian konflik secara aman di Asia Barat.

Jurucakap PBB, Stephane Dujarric berkata Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres mengalu-alukan pengumuman bahawa kedua-dua negara telah mencapai perjanjian yang memperuntukkan gencatan senjata serta-merta dan berkekalan.

Dujarric berkata Guterres turut menghargai peranan yang dimainkan Pakistan, Qatar, Mesir, Arab Saudi, Turkiye dan beberapa negara serantau lain dalam menyokong rundingan yang membawa kepada pemeteraian perjanjian tersebut.

“Peranan utama jelas dimainkan oleh Pakistan,” katanya kepada pemberita pada Isnin.

Menurut beliau, Guterres sentiasa dimaklumkan mengenai usaha diplomatik yang dijalankan dan turut mengadakan perbualan dengan pemimpin Qatar serta Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, pada hari sama.

Katanya, PBB bersedia membantu semua pihak dalam usaha mencapai keamanan yang berkekalan, mampan dan menyeluruh di rantau itu.

Ketika ditanya mengenai kesan perjanjian tersebut terhadap konflik lain di Asia Barat antara Israel dan Hizbullah di Lubnan, Dujarric berkata PBB mahu melihat semua bentuk permusuhan ditamatkan.

“Jalan terbaik untuk pemulihan adalah melalui keamanan,” katanya. – REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.