Selat Hormuz dibuka tanpa bayaran tol selama 60 hari

Sebuah kapal tunda membantu kapal kargo berlabuh di Pelabuhan Dammam, Arab Saudi/Foto fail REUTERS

WASHINGTON, 16 Jun – Selat Hormuz akan dibuka kepada pelayaran antarabangsa tanpa sebarang bayaran tol selama 60 hari.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perjanjian itu sebahagian daripada Memorandum Persefahaman antara AS dan Iran.
  • Trump berkata beliau akan memastikan laluan perkapalan strategik dibuka sepenuhnya.
  • Macron sifatkan perjanjian sebagai langkah penting untuk keamanan serantau dan kestabilan ekonomi global.
  • Perjanjian sediakan gencatan senjata untuk membolehkan rundingan lanjut termasuk isu program nuklear Iran.

Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump berkata perjanjian itu merupakan sebahagian daripada Memorandum Persefahaman (MoU) yang dipersetujui AS-Iran.

Tambah Trump, beliau akan memastikan laluan perkapalan strategik tersebut dibuka sepenuhnya bermula Jumaat ini.

“Saya tidak fikir kami memerlukan banyak bantuan kerana kami sudah mempunyai perjanjian yang memastikan laluan itu akan dibuka.”

“Dan ia bebas tol. Saya fikir Selat Hormuz akan terus dibuka dan pelayaran dapat dilakukan dengan bebas,” katanya ketika ditemui bersama Presiden Perancis Emmanuel Macron menjelang Sidang Kemuncak G7 di Perancis.

Sementara itu, Macron menyifatkan perjanjian damai antara AS dan Iran sebagai langkah penting ke arah keamanan serantau dan kestabilan ekonomi global.

Menurutnya, perjanjian itu bukan sahaja membantu menangani isu program nuklear Iran, malah membuka semula Selat Hormuz dan berpotensi membawa keamanan kepada Lubnan.

Macron berkata Perancis bersedia menyumbang kepada usaha antarabangsa bagi menyokong pelaksanaan perjanjian tersebut, termasuk menghantar aset tentera laut sekiranya diperlukan.

Trump sebelum ini memaklumkan teks penuh perjanjian itu dijangka didedahkan selepas majlis pemeteraian rasmi yang dijadual berlangsung di Geneva, Switzerland pada Jumaat ini.

Perjanjian berkenaan turut menyediakan tempoh gencatan senjata selama 60 hari bagi membolehkan rundingan lanjut mengenai isu utama termasuk program nuklear Iran diteruskan. – REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.