Malaysia, Switzerland catat peningkatan perdagangan

Malaysia mengalu-alukan lebih banyak pelaburan berkualiti daripada Switzerland / Foto FB Johari Abdul Ghani

KUALA LUMPUR, 23 Oktober – Perdagangan dua hala Malaysia-Switzerland meningkat 9.8 peratus kepada RM13.4 bilion pada 2025, sekali gus mencerminkan perkembangan hubungan ekonomi antara kedua-dua negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Malaysia mencatat 211 projek pembuatan dengan penyertaan Switzerland, pelaburan RM12.8 bilion dan mencipta 19,744 peluang pekerjaan setakat Jun 2026.
  • Johari menerima kunjungan hormat Setiausaha Negara Hal Ehwal Ekonomi Switzerland, Helene Budliger Artieda, bagi memperkukuh hubungan dua hala.
  • Perbincangan tumpu pada kerjasama dalam pembuatan termaju, kejuruteraan berketepatan tinggi dan teknologi perubatan.
  • Kedua-dua negara tekankan pelaksanaan MEEPA untuk luaskan akses pasaran serta komitmen Kuala Lumpur kepada perdagangan dan industri mampan.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani memaklumkan Malaysia turut mencatatkan 211 projek pembuatan dengan penyertaan Switzerland setakat Jun 2026 melibatkan pelaburan bernilai RM12.8 bilion serta mewujudkan 19,744 peluang pekerjaan.

Perkara berkenaan dimaklumkan selepas menerima kunjungan hormat Setiausaha Negara bagi Hal Ehwal Ekonomi Switzerland Helene Budliger Artieda, pada Selasa.

”Pertemuan itu turut membincangkan usaha memperkukuh kerjasama perdagangan dan pelaburan, khususnya dalam bidang pembuatan termaju, kejuruteraan berketepatan tinggi dan teknologi perubatan.

”Malaysia mengalu-alukan lebih banyak pelaburan berkualiti daripada Switzerland bertujuan memperkukuh keupayaan industri tempatan serta mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi untuk rakyat,”katanya menerusi hantaran di Facebook.

Kedua-dua pihak turut membincangkan Perjanjian Perkongsian Ekonomi Malaysia-EFTA (MEEPA), dengan menekankan kepentingan pelaksanaannya bagi meluaskan akses pasaran dan membuka lebih banyak peluang perniagaan kepada kedua-dua negara.

Pada masa sama, Datuk Seri Johari menegaskan komitmen Kuala Lumpur kepada pembangunan industri dan perdagangan mampan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.