
KUALA LUMPUR, 23 Oktober –Kecemerlangan industri penyiaran negara bukan hanya bergantung pada bakat di hadapan kamera, malah turut didukung tenaga kreatif di sebalik tabir yang memainkan peranan penting dalam menghasilkan kandungan berkualiti.
- Pengiktirafan ASA 2026 disasar memperhebat penghasilan kandungan kreatif tempatan, meningkatkan kualiti dan daya saing ke peringkat antarabangsa.
- Inisiatif dijangka merancakkan kandungan melalui televisyen, radio dan platform media baharu serta menyokong pelaksanaan RMK13.
- Penganjuran ASA dikendalikan Kementerian bersama agensi tanpa khidmat syarikat pengurusan acara; persiapan dan raptai berjalan lancar.
- Belanjawan 2027 memperuntuk RM130 juta bagi pembangunan industri kreatif, membantu filem, muzik dan kandungan menembusi pasaran antarabangsa.
Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif), Kementerian Komunikasi, Datuk Bahria Mohd Tamil berkata, pengiktirafan terhadap penggiat industri penyiaran menerusi Anugerah Seri Angkasa (ASA) 2026 diharap menjadi suntikan memperhebat penghasilan kandungan kreatif tempatan yang lebih berkualiti, berdaya saing dan mampu bersaing di pentas antarabangsa.
“Kita berharap usaha ini dapat merancakkan lagi perkembangan kandungan kreatif menerusi saluran televisyen, stesen radio dan platform media baharu. Inisiatif ini juga diharap dapat terus menyokong usaha kerajaan dalam memperkasa industri kreatif sepanjang pelaksanaan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13),” katanya kepada pemberita selepas menjadi tetamu dalam Rancangan Selamat Pagi Malaysia, di sini.
Dalam pada itu, beliau berkata penganjuran ASA kali ini mencabar apabila dilaksanakan oleh Kementerian Komunikasi bersama agensi di bawahnya tanpa menggunakan khidmat syarikat pengurusan acara.
Bagaimanapun, katanya persiapan menjelang acara itu berjalan lancar dengan beberapa segmen persembahan telah dipersembahkan, manakala raptai penuh turut dijadualkan sebelum malam kemuncak.
Mengulas sokongan kerajaan kepada industri berkenaan, beliau turut menyambut baik pengumuman peruntukan RM130 juta bagi pembangunan industri kreatif dalam Belanjawan 2027, yang diharap dapat membantu sektor perfileman, muzik dan kandungan kreatif menembusi pasaran antarabangsa.
ASA 2026 yang membawa tema ‘Segalanya Bermula Di Sini’ turut mengetengahkan evolusi penyiaran negara menerusi konsep pementasan muzikal Broadway bersempena sambutan ulang tahun ke-80 Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Malam Kemuncaknya akan berlangsung pada 24 Oktober ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).