FTX RTS Link perkukuh kepercayaan strategik Malaysia, Singapura

Latihan Amal Berskala Penuh merupakan kemuncak kepada beberapa peringkat persediaan

KUALA LUMPUR, 23 Oktober – Keberkesanan tindak balas kecemasan serta penyelarasan agensi antara Malaysia dan Singapura bakal diuji menerusi Latihan Amal Berskala Penuh (Field Training Exercise-FTX) bagi projek RTS Link, pada 27 Oktober ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Latihan merangkumi simulasi kebakaran, operasi menyelamat, pengurusan mangsa cedera serta penyelarasan kawalan sempadan dan imigresen.
  • Dilaksanakan bersama Malaysia dan Singapura di peringkat lapangan untuk menguji SOP dan senario secara amali.
  • AKPS bertanggungjawab terhadap tindak balas awal Malaysia sebelum agensi lain termasuk PDRM melaksanakan peranan mengikut SOP.
  • Latihan diharap memperkukuh kepercayaan strategik Malaysia Singapura serta meningkatkan keyakinan awam terhadap keselamatan operasi RTS Link.

Pengarah Bahagian Perisikan dan Pengurusan Krisis Negara, Majlis Keselamatan Negara, Mohd Tarmizi Dan memaklumkan, latihan berkenaan merupakan kemuncak kepada beberapa peringkat persediaan yang dilaksana bagi memastikan kedua-dua negara bersedia menghadapi sebarang insiden kecemasan membabitkan perkhidmatan pengangkutan rentas sempadan berkenaan.

“Latihan merangkumi simulasi pelbagai senario termasuk insiden kebakaran, operasi menyelamat, pengurusan mangsa yang cedera serta penyelarasan kawalan sempadan dan imigresen.

” Kita akan melaksanakan secara bersama antara Malaysia dan Singapura dan kali ini di peringkat lapangan juga latihan amali yang dilaksanakan secara bersama untuk memastikan SOP serta senario yang dibangunkan,”katanya.

Dalam pada itu katanya, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) akan bertanggungjawab terhadap tindak balas awal bagi Malaysia sebelum agensi berkaitan, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), melaksanakan peranan masing-masing mengikut SOP yang dipersetujui.

“Keberkesanan latihan akan dinilai berdasarkan tahap kefahaman agensi, tempoh tindak balas serta keupayaan menggerakkan jentera penyelamat dalam keadaan trafik sesak dan persekitaran bandar yang padat,”katanya selepas menjadi tetamu rancangan Selamat Pagi Malaysia (SPM).

Beliau turut berharap latihan berkenaan dapat memperkukuh kepercayaan strategik antara Malaysia dan Singapura, selain meningkatkan keyakinan rakyat dengan aspek keselamatan operasi RTS Link yang dijadualkan beroperasi pada tahun hadapan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.