
SARIKEI, 9 Mei – Seorang buruh binaan warga Bangladesh maut selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya melibatkan sebuah lori di Jalan Serdeng berhampiran simpang Kampung Jaluh Baru, Bintangor pagi tadi.
- Md Fazlur Rahman, 40, disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala.
- Kejadian kira-kira 8.50 pagi dipercayai berlaku ketika mangsa melintas secara mengejut dan dirempuh lori.
- Mayat dibawa ke Hospital Sarikei untuk bedah siasat; kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Mangsa dikenali sebagai Md Fazlur Rahman, 40, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Meradong, DSP Tansli Mering berkata siasatan awal mendapati kejadian kira-kira 8.50 pagi itu berlaku ketika mangsa dipercayai melintas jalan secara mengejut.
“Pemandu lori berkenaan yang dalam perjalanan dari arah Semop menuju ke Sibu, gagal mengelak kerana jarak terlalu dekat, dan merempuh mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sarikei untuk proses bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.