Kemalangan tiga kenderaan, penunggang motosikal maut

Foto PDRM

BESUT, 9 Mei – Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya terlibat dalam satu kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Kuala Terengganu ke Kota Bharu dekat Kampung Gerai, di sini kira-kira 12.30 tengah hari tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mangsa Mohd Faris Harun, 33, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala.
  • Kemalangan melibatkan motosikal Demak, sebuah kereta Perodua dan sebuah treler kontena.
  • Siasatan awal: kereta berhenti di simpang untuk membelok kanan, motosikal gagal mengelak lalu melanggar belakang kanan kereta dan tercampak.
  • Mayat dihantar ke Hospital Besut untuk bedah siasat; kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mangsa, Mohd Faris Harun, 33, dari Kampung Telaga Nibong, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Rozaime Ab Rahim, berkata kemalangan melibatkan motosikal jenis Demak ditunggang mangsa, sebuah kereta Perodua, dan sebuah treler kontena.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila kereta yang dipandu seorang lelaki berhenti di simpang tiga untuk membelok ke kanan.

“Pada masa sama, mangsa yang datang dari arah belakang dipercayai gagal mengelak lalu melanggar bahagian belakang sebelah kanan kereta berkenaan.

“Akibat pelanggaran itu, mangsa tercampak ke laluan bertentangan sebelum dilanggar sebuah treler kontena yang datang dari arah bertentangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Besut untuk proses bedah siasat.

Sementara itu, pemandu kereta dan treler tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.