Pengundi muda perlu matang nilai maklumat politik

Gambar Hiasan / RTM

ALOR GAJAH, 9 November – Pengundi muda disaran supaya lebih matang dalam menilai maklumat politik yang diterima melalui media sosial bagi mengelakkan diri daripada terpengaruh dengan kandungan yang boleh mempengaruhi pandangan dan keputusan mengundi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Media sosial kuat mempengaruhi pandangan politik kerana kandungan dipaparkan mengikut minat pengguna.
  • Algoritma mewujudkan echo chamber, menyekat pandangan berbeza dan meningkatkan peluang menerima maklumat berat sebelah.
  • Wujud risiko deepfake dan kandungan mengelirukan; praktik literasi media dan semak silang sumber sahih sebelum membuat keputusan mengundi.

Ketua Pusat Pengajian Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi MARA (UiTM) Alor Gajah, Prof. Dr. Abdul Rauf Ridzuan berkata, golongan muda yang aktif menggunakan media sosial lebih mudah terdedah kepada pelbagai maklumat berkaitan politik.

“Media sosial memberikan pengaruh yang besar kepada pengundi muda kerana mereka banyak menghabiskan masa dengan platform tersebut setiap hari.

“Keadaan ini menyebabkan mereka mudah terpengaruh dengan maklumat yang diterima, sekali gus membuat keputusan berdasarkan perkara yang didengar dan dilihat menerusi media sosial,” katanya kepada RTM.

Katanya, keadaan itu turut dipengaruhi algoritma media sosial yang cenderung memaparkan kandungan berdasarkan minat dan carian pengguna, sekali gus mewujudkan keadaan yang dikenali sebagai echo chamber.

Pada masa sama, kemunculan teknologi ‘deepfake’ yang mampu meniru wajah dan suara seseorang turut meningkatkan risiko pengundi terpengaruh dengan kandungan politik yang mengelirukan dan tidak sahih.

“Justeru, kemahiran literasi media amat penting. Golongan muda perlu sentiasa menyemak dan memastikan kesahihan maklumat yang diterima. Saya juga menyarankan agar mereka tidak hanya mendengar pandangan daripada satu pihak, sebaliknya meneliti pelbagai sudut supaya dapat membuat penilaian dengan lebih bijak,” katanya.

Sehubungan itu, pengundi muda disaran tidak bergantung kepada satu sumber sahaja, sebaliknya menyemak dan membandingkan maklumat daripada beberapa sumber yang sahih sebelum membuat keputusan pada Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.