398 kandungan 3R diturunkan sepanjang empat bulan pertama 2026

Foto janaan AI

KULAI, 9 Mei – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menurunkan sebanyak 398 kandungan berkaitan isu agama, raja dan kaum (3R) setakat April lepas, kata Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.

RINGKASAN BERITA AI
  • 750 aduan permohonan penurunan kandungan diterima bagi tempoh awal tahun hingga April.
  • Sebanyak 8,540 kandungan 3R telah diturunkan sejak 2022 hingga bulan lepas.
  • MCMC bertindak sebagai rakan teknikal membantu PDRM siasatan; keputusan tindakan di mahkamah tertakluk kepada Jabatan Peguam Negara.
  • Bengkel TikTok Shop anjuran MCMC dan TikTok memperkasakan literasi digital, etika penciptaan kandungan dan potensi pendapatan peserta.

Beliau berkata tindakan itu merupakan sebahagian daripada maklum balas terhadap 750 aduan yang diterima bagi permohonan menurunkan kandungan sensitif bagi tempoh awal tahun ini hingga April.

Menurutnya lagi, secara keseluruhan, sebanyak 8,540 kandungan 3R telah diturunkan sejak 2022 hingga bulan lepas.

“Kita melihat aduan yang diterima meningkat setiap tahun. Pada 2022, sebanyak 175 kandungan diturunkan dan jumlah itu meningkat kepada 1,633 pada tahun berikutnya. Begitu juga pada 2024, jumlah itu bertambah kepada 4,830, namun menurun kepada 1,504 pada tahun lepas.

“Bagi tahun ini, 750 permohonan telah dihantar kepada pemilik platform dan setakat ini, 398 kandungan telah diturunkan setakat 30 April,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Bengkel Pendidikan Pencipta Kandungan TikTok Shop di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Senai, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata kebanyakan kes berkaitan kandungan 3R disiasat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) berdasarkan persefahaman antara agensi itu dengan MCMC.

“MCMC bertindak sebagai rakan teknikal dengan menyediakan sokongan kepakaran bagi membantu pihak polis mengenal pasti individu di sebalik akaun terlibat.

“Keputusan sama ada sesuatu kes itu diambil tindakan di mahkamah mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 tertakluk kepada pertimbangan Jabatan Peguam Negara,” katanya.

Sementara itu, Teo berkata Bengkel Pendidikan Pencipta Kandungan TikTok Shop anjuran MCMC bersama TikTok Shop merupakan usaha memperkasakan literasi digital dan etika penghasilan kandungan.

Beliau berkata inisiatif ini bertujuan membantu peserta meningkatkan kemahiran digital, mempelajari strategi perniagaan dalam talian serta memperkukuh potensi pendapatan melalui platform TikTok Shop.