
TUMPAT, 9 Mei – Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan tiga individu selepas dipercayai memiliki bunga ganja seberat kira-kira lima kilogram (kg) dalam serbuan di Simpang Masjid At-Taqwa di sini, pada Jumaat.
- Seorang lelaki warga Jordan 47 tahun dan dua wanita tempatan, 51 dan 35, ditahan untuk membantu siasatan.
- Semasa pemeriksaan ditemukan satu bungkusan plastik di bonet hadapan dan empat di bonet belakang berisi daun kering disyaki bunga ganja.
- Seorang bayi dua bulan berada dalam kenderaan; semua suspek, barang rampasan dan kenderaan dibawa ke BSJN IPD Tumpat.
Lelaki warga Jordan berusia 47 tahun bersama dua wanita tempatan masing-masing berusia 51 dan 35 tahun ditahan bagi membantu siasatan.
Komander Briged Tenggara PGA, SAC Ahmad Radzi Hussain berkata, tangkapan selepas mengesan sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan kawasan berkenaan kira-kira pukul 4 petang.
Katanya, seorang bayi berusia 2 bulan turut berada di dalam kenderaan terbabit.
“Hasil pemeriksaan terhadap sebuah kereta mewah menemukan satu bungkusan plastik lutsinar di bahagian bonet hadapan enjin.
“Manakala empat bungkusan plastik lutsinar di bahagian bonet belakang yang mengandungi daun kering disyaki bunga ganja,” katanya menerusi hantaran pada Jumaat.
Menurut beliau, kesemua suspek bersama barang rampasan dan kenderaan dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat untuk tindakan lanjut.