Sindiket proses pasir silika haram tumpas, rampasan RM7.25 juta

Foto PGA Ulu Kinta

KAMPAR, 9 Mei – Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas kira-kira 5,000 tan pasir silika serta pelbagai peralatan pemprosesan mineral bernilai keseluruhan RM7.25 juta dalam Op Bersepadu Khazanah (OBK) di sebuah premis tanpa kelulusan sah di sini, pada Khamis.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tiga lelaki tempatan ditahan, usia 20 hingga 30, disyaki pemilik premis dan pemandu lori.
  • Premis dipercayai beroperasi sejak 2024 memproses pasir silika untuk disimpan dan dieksport ke luar negara.
  • Operasi dijalankan hasil risikan dengan kerjasama JMG, PTG, LHDN dan BSJ IPD Kampar.
  • Kes disiasat di bawah Peraturan 6(4) Pembangunan Mineral (Pelesenan) 2016 dan Seksyen 426 Kanun Tanah Negara; tindakan tegas akan terus diambil.

Komander Briged Utara PGA, SAC Balveer Singh Mahindar Singh berkata, operasi bersepadu itu turut menahan tiga lelaki tempatan berusia antara 20 hingga 30 tahun yang dipercayai pemilik premis dan pemandu lori.

Operasi dijalankan hasil risikan terhadap sebuah lokasi yang disyaki menjalankan aktiviti pemprosesan pasir silika tanpa lesen.

“Hasil siasatan awal mendapati premis ini telah beroperasi sejak 2024 dan fasiliti di lokasi digunakan khusus untuk memproses pasir silika sebelum disimpan serta dieksport ke luar negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, operasi tersebut dijalankan dengan kerjasama Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) Perak, Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Perak serta Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar.

Tambahnya, pemeriksaan turut mendapati dua lori yang membawa muatan pasir gagal mengemukakan dokumen sah pemindahan mineral.

“Rampasan melibatkan pelbagai mesin dan jentera pemprosesan, longgokan pasir silika dianggarkan seberat 5,000 tan serta 500 beg jumbo mengandungi mineral jenis amang,” katanya.

Kes disiasat di bawah Peraturan 6(4), Peraturan-Peraturan Pembangunan Mineral (Pelesenan) 2016 kerana memproses pasir silika tanpa lesen, manakala kesalahan pemindahan pasir tanpa kelulusan disiasat mengikut Seksyen 426 Kanun Tanah Negara.

Beliau menegaskan tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang menjalankan aktiviti pemprosesan mineral secara haram kerana boleh menjejaskan alam sekitar serta keselamatan awam.