Polis tahan empat individu terlibat simbah cat merah

Foto ihsan Polis Negeri Sembilan

SEREMBAN, 8 Mei – Polis menahan seorang lelaki dan tiga wanita disyaki terlibat menyimbah cat merah di sebuah rumah di Jalan Sungai Ujong, di sini pada 3 Mei.

RINGKASAN BERITA AI
  • Polis merampas Proton Saga, Perodua Myvi, empat telefon bimbit, tong dan tin cat merah jenama Sea Master serta pakaian berkesan cat.
  • Dua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah; seorang lagi mempunyai rekod di bawah Akta Pemberi Pinjam Wang 1951.
  • Suspek dipercayai terlibat dalam beberapa siri kejadian simbah cat di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.
  • Semua suspek direman sehingga 10 Mei bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad berkata seorang lelaki berusia 29 tahun membuat laporan pada hari sama mendakwa pagar, pintu hadapan dan dua kenderaan miliknya terkena cat merah disimbah individu tidak dikenali.

Beliau berkata suspek berusia 23 hingga 34 tahun ditahan pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban pada serbuan di Taman Permatang Pasir, Melaka semalam dan hari ini.

“Dalam serbuan itu, polis merampas Proton Saga dan Perodua Myvi, empat telefon bimbit dan masing-masing satu tong serta tin cat merah jenama Sea Master selain beberapa pakaian dipercayai mempunyai kesan cat.

“Siasatan mendapati dua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah manakala seorang di bawah Akta Pemberi Pinjam Wang 1951,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata suspek dipercayai terlibat dalam beberapa siri kejadian simbah cat di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Alzafny berkata semua suspek direman sehingga 10 Mei bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan. – BERNAMA