Anggota badan mangsa buaya ditemukan

Foto hiasan

MARUDI, 8 Mei – Hari kedua operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki warga emas yang dilapor hilang ketika memancing di Sungai Ridan, di sini menemukan sebahagian anggota badan mangsa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mangsa dikenali sebagai Liew Mei Koon, 64, dipercayai menjadi mangsa serangan buaya.
  • Motosikal, pakaian dan peralatan memancing mangsa ditemui di bawah jambatan sebelum laporan kehilangan dibuat.
  • Baki anggota gagal ditemukan sebelum operasi ditamatkan pukul 4 petang; semua anggota yang ditemui diserahkan kepada polis.

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, mangsa dikenali sebagai Liew Mei Koon, 64 tahun dipercayai menjadi mangsa serangan buaya.

Beberapa anggota badan termasuk dua kaki, satu tangan dan kepala ditemukan pukul 10.52 pagi oleh pasukan operasi SAR.

Bagaimanapun, baki anggota badan mangsa gagal ditemukan sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 4 petang.

Semua anggota badan berkenaan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Terdahulu, mangsa dilapor hilang petang semalam selepas motosikal, pakaian dan peralatan memancing miliknya ditemukan di bawah jambatan sungai berkenaan.

Operasi SAR melibatkan lima anggota bomba bersama Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam digerakkan dengan bantuan penduduk kampung.