
KUALA LUMPUR, 8 Mei-Seramai 13 warga asing daripada pelbagai negara ditahan dalam satu operasi penguatkuasaan bersepadu di Cyberjaya selepas didapati menyalahgunakan pas dan tinggal melebihi masa di negara ini.
- Operasi penguatkuasaan di Menara Paragon, Cyberjaya hasil risikan dan aduan awam; 105 warga asing serta 16 premis diperiksa.
- Warga asing ditahan berasal dari Sudan, India, Pakistan, Nepal, Myanmar dan Indonesia, dituduh langgar Akta Imigresen 1959/63.
- JIM libatkan 83 pegawai bersama 15 pegawai KPDN; 89 warganegara tempatan diperiksa dan tindakan tegas dijanjikan terhadap majikan penggaji PATI.
Tangkapan yang melibatkan individu berusia antara 26 hingga 35 tahun itu dibuat selepas pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) melakukan pemeriksaan mengejut ke atas 105 warga asing di sebuah pusat perniagaan yang menjadi hub tumpuan warga asing di Menara Paragon, pada Rabu.
Operasi berkenaan melibatkan 83 pegawai pelbagai pangkat daripada Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Imigresen dengan kerjasama 15 pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Zakaria Shaaban dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa mereka yang ditahan terdiri daripada warganegara Sudan, India, Pakistan, Nepal, Myanmar, dan Indonesia.
“Operasi ini dijalankan hasil risikan selama seminggu dan aduan awam mengenai dominasi warga asing dalam sektor perkhidmatan di kawasan berkenaan.
“Sebanyak 16 premis termasuk kedai makanan dan kiosk telah diperiksa bagi memastikan pematuhan undang-undang,” katanya.
Selain penahanan warga asing, seramai 89 warganegara tempatan turut diperiksa dalam operasi tersebut.
Ujar beliau,pihaknya turut mengeluarkan satu Borang 29 (Saman Saksi) kepada seorang warganegara Malaysia bagi membantu siasatan berkaitan penggajian pekerja asing tanpa izin.
Kesemua warga asing yang ditahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963 itu kini ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Putrajaya untuk tindakan susulan.
Zakaria turut menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang menggaji atau melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI).
Beliau memberi amaran bahawa tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana individu atau majikan yang menyalahi peraturan demi memelihara kedaulatan undang-undang negara.