
SELAYANG, 15 Jun – Seramai 52 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam operasi bersepadu yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor di sekitar Batu Caves dan Selayang, semalam.
- JIM Selangor jalankan tiga operasi serentak dipimpin Timbalan Penolong Pengarah dengan 34 pegawai penguat kuasa mulai pukul 4 petang.
- Seramai 72 warga asing diperiksa; ramai ditahan disyaki langgar Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
- Penahanan dibuat di Pasar Malam Batu Caves, sebuah premis di Selayang Baru dan kediaman di Kampung Laksamana, melibatkan pelbagai kewarganegaraan.
Operasi melibatkan 34 pegawai penguat kuasa itu diketuai Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Mohd Asrul Hazdlyzan Zakaria menerusi tiga operasi serentak iaitu Ops Kutip, Ops Selera dan Ops Sapu yang bermula pada pukul 4 petang.
Seramai 72 warga asing diperiksa sepanjang operasi tersebut dan daripada jumlah itu, 52 individu berusia antara dua hingga 49 tahun ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Serbuan pertama menggempur kawasan Pasar Malam Batu Caves menyaksika seramai 59 individu diperiksa dengan 39 daripadanya ditahan.
Mereka terdiri daripada warga Myanmar, Indonesia, Bangladesh, India dan Pakistan yang dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah serta Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan.
Sementara itu, serbuan kedua dilakukan di sebuah premis di Selayang Baru.
“Empat lelaki warga asing ditahan selepas pemeriksaan dilakukan terhadap mereka yang terdiri daripada tiga warga India dan seorang warga Pakistan.
Mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.
Manakala, operasi terakhir menyasarkan sebuah kediaman di Kampung Laksamana, Batu Caves membawa kepada penahanan sembilan warga asing.
“Mereka yang diberkas terdiri daripada warga Pakistan, Sri Lanka dan Bangladesh yang dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) serta Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” ujarnya lagi.
Dalam operasi sama, JIM Selangor turut mengeluarkan satu saman saksi serta mengenal pasti seorang majikan bagi membantu siasatan lanjut.
Kesemua individu yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen untuk proses dokumentasi dan siasatan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.