
KUALA LUMPUR, 15 Jun – Operasi bersepadu Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya membongkar kegiatan sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang aktif di Selangor apabila 35 individu diberkas dalam serbuan awal pagi di Kampung Sungai Air Tawar, Sabak Bernam, Rabu lalu.
Briged Tengah PGA turut menahan tujuh warga tempatan yang dipercayai memainkan peranan penting sebagai tekong darat dan transporter dalam rangkaian sindiket berkenaan.
Komander Briged Tengah PGA, SAC Hakemal Hawari berkata, serbuan kira-kira pukul 5 pagi itu dilaksanakan hasil risikan rapi Pasukan Petugas (Task Force) Briged Tengah menerusi Op Taring Nyah 1 yang digerakkan di Selangor dan Johor.
Menurut beliau, kesemua individu yang ditahan berusia antara 20 hingga 50 tahun.
“Turut dirampas tujuh kenderaan pelbagai jenis iaitu enam kereta dan sebuah motosikal, selain tujuh unit telefon bimbit yang dipercayai digunakan dalam aktiviti penyeludupan. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM360,000,” katanya pada sidang media Ops Taring Delta (ATIPSOM) Briged Tengah PGA di sini, hari ini.
Siasatan awal mendapati sindiket berkenaan mengenakan bayaran antara RM1,500 hingga RM2,500 bagi setiap individu untuk masuk ke negara ini secara haram.
Kes disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan Task Force Delta Briged Tengah PGA telah melaksanakan 11 serbuan melibatkan 22 kes sejak 1 Januari lalu hingga kini, dengan tangkapan seramai 247 individu.
Daripada jumlah itu, 32 individu dikenal pasti sebagai tekong darat, tekong laut dan transporter, manakala selebihnya merupakan pendatang asing terdiri daripada 160 lelaki, 54 wanita dan seorang kanak-kanak lelaki.
Pelbagai aset yang dipercayai digunakan dalam kegiatan penyeludupan migran turut dirampas dengan nilai keseluruhan mencecah RM1.5 juta.
Sepanjang tempoh sama, Briged Tengah PGA turut melaksanakan 187 serbuan di kawasan tanggungjawab meliputi Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka serta Johor.
Hasil operasi tersebut menyaksikan penahanan 662 individu dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan RM257 juta.